Peguam Negara tak boleh campur tangan siasatan polis, kata mahkamah

Peguam Negara tak boleh campur tangan siasatan polis, kata mahkamah

Hakim Kamaludin Md Said berkata, sistem keadilan jenayah memerlukan pengasingan tugas antara pihak yang menyiasat dan pihak yang mendakwa.

Peguam, P Uthayakumar, mahu Peguam Negara mengetepikan notis yang dikeluarkan oleh polis kepadanya untuk membantu siasatan dua tahun lepas dengan mendakwa notis itu menghalang tugasnya.
PUTRAJAYA:
Peguam Negara, yang juga pendakwa raya, tidak boleh campur tangan secara langsung dalam siasatan polis kerana fungsinya berbeza, kata Mahkamah Rayuan.

Hakim Kamaludin Md Said berkata, Peguam Negara diberi kuasa bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan “sebarang prosiding” berkait sesuatu kesalahan.

Beliau menjelaskan bahawa “prosiding” bermaksud “prosiding kehakiman” dan tidak termasuk siasatan.

Tambahnya, Seksyen 376(1) Kanun Prosedur Jenayah juga menyatakan pendakwa raya “mempunyai kawalan dan arahan atas semua pendakwaan jenayah dan prosiding”.

“Oleh itu, Peguam Negara (pendakwa raya) hanya diberi kuasa untuk mengawal dan mengarahkan pendakwaan jenayah dan prosiding, bukan siasatan atas sesuatu kesalahan,” katanya dalam penghakiman 22 muka surat yang menolak rayuan peguam, P Uthayakumar.

Turut bersidang mendengar rayuan itu baru-baru ini hakim M Gunalan dan Hashim Hamzah.

Peguam itu mahu Peguam Negara mengetepikan notis yang dikeluarkan oleh polis dua tahun lepas kepadanya untuk membantu dalam siasatan.

Uthayakumar, yang mendakwa notis itu menghalang tugasnya sebagai peguam, juga mahu penangguhan ke atas sebarang waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya kerana gagal mematuhi perintah itu.

Kamaludin berkata, Peguam Negara tidak mempunyai kuasa untuk menyemak notis yang dikeluarkan oleh polis bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah kerana ia berkait siasatan.

Peguam Negara dan timbalannya tidak terlibat dalam proses siasatan, tambahnya.

“Penglibatan mereka di peringkat siasatan adalah semata-mata untuk mengarahkan pihak berkuasa yang berkenaan menjalankan siasatan lanjut jika perlu.”

Kamaludin berkata, sistem keadilan jenayah memerlukan pengasingan tugas antara pihak yang menyiasat dan pihak yang mendakwa.

“Peguam Negara tidak akan campur tangan dalam mana-mana siasatan yang dijalankan oleh polis atas sebab-sebab yang jelas.

“Peguam Negara dan polis berada bawah dua organisasi berasingan dengan kuasa dan tanggungjawab berasingan mengikut undang-undang,” tambahnya.

Beliau berkata, tugas menyiasat tidak boleh disifatkan sebagai menindas dan negara ini akan ditimpa musibah jika polis dihalang daripada menjalankan tugas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.