MoU amah dijangka dimeterai bulan ini, kata duta Indonesia

MoU amah dijangka dimeterai bulan ini, kata duta Indonesia

MoU berkenaan pada mulanya sepatutnya ditandatangani Malaysia dan Indonesia bulan lepas tetapi ia ditangguhkan selepas beberapa isu dibangkitkan.

Hermono berkata, mengikut MoU yang bakal dimeterai, semua ejen berlesen Indonesia akan dibenarkan membawa masuk pembantu rumah melalui satu syarikat atau agensi berkaitan kerajaan di kedua-dua hujung.
PETALING JAYA:
Memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia berhubung pengambilan pembantu rumah dijangka dimeterai menjelang akhir bulan ini selepas “beberapa isu” diselesaikan, kata Duta Besar Indonesia, Petahana Hermono.

Beliau berkata, isu yang paling menjadi pertikaian, iaitu Sistem Maid Online (SMO) yang membenarkan ejen dan individu membawa masuk pekerja menggunakan visa pelancong dan kemudian memohon permit kerja secara elektronik, akan dibatalkan.

Hermono berkata, MoU itu, yang kini di peringkat akhir, juga akan melaksanakan pengambilan melalui One Channel System (OCS).

Pada asasnya katanya, ini bermakna semua ejen berlesen Indonesia akan dibenarkan membawa masuk pembantu rumah melalui satu syarikat atau agensi berkaitan kerajaan di kedua-dua hujung.

“Kami tidak tahu platform yang akan digunakan oleh Malaysia tetapi platform kami akan diuruskan oleh kedutaan dan konsulat jeneral kami di sini.

“Pendirian kami adalah sebaik sahaja OCS diwujudkan, tiada saluran lain akan digunakan untuk mengambil pembantu rumah Indonesia,” katanya kepada FMT.

Turut dipersetujui katanya, adalah klausa “seorang pembantu rumah bagi setiap isi rumah dengan enam anggota” untuk mengelakkan pekerja disalah guna dengan bekerja untuk keluarga besar atau diarah bekerja untuk saudara-mara dan rakan.

“Selain itu, jika dalam kalangan enam (anggota keluarga) itu, terdapat bayi atau warga emas yang memerlukan penjagaan khas, majikan perlu mengambil pembantu rumah tambahan untuk tujuan ini.

“Belum ada tarikh ditetapkan untuk pemeteraian (MoU) kerana kami perlu menyelesaikan beberapa isu. Kami jangka ia akan ditandatangani menjelang akhir bulan ini jika semuanya berjalan lancar,” katanya.

MoU berkenaan pada mulanya sepatutnya ditandatangani bulan lepas tetapi ditangguhkan selepas beberapa isu dibangkitkan.

Ini termasuk sistem pengambilan SMO yang ditentang oleh kerajaan Indonesia. Malaysia mahu memulakan pengambilan pekerja secepat mungkin kerana permintaan semasa sangat tinggi.

Hermono berkata, MoU itu, yang kini dikenali sebagai “Pengambilan dan Perlindungan Pembantu Rumah” juga mensyaratkan agensi pengambilan pekerja, majikan dan pembantu rumah menandatangani surat aku janji dengan ikrar untuk menjaga kepentingan masing-masing.

“Ikrar oleh agensi pengambilan pekerja Malaysia akan memberi tumpuan kepada pemantauan kebajikan pembantu rumah dari semasa ke semasa bagi memastikan semua pihak memegang janji mereka,” katanya, dengan menambah bahawa mereka boleh menghubungi atau melawat rumah majikan,

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.