
Ahmad Robin, 31, didakwa membunuh Pandang Sarang di sebuah ladang kelapa sawit pada 11 pagi 11 Feb lalu dan Muli Laha di ladang kelapa sawit lain di Daro pada 11 malam hari sama, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding hari ini, selepas pengakuan tertuduh direkodkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Christopher Chin, pendakwaan memanggil saksinya untuk memberi keterangan.
Sijaya, 50, suami Pandang, memaklumkan mahkamah pada 7.20 pagi hari kejadian, mangsa memberitahunya mahu ke pasar Daro bersama Muli dan seorang lagi wanita warga Indonesia bernama Tene dengan menumpang kereta tertuduh.
“Isteri saya ada membawa wang sebanyak RM2,500 untuk membeli barangan keperluan, selain memakai rantai dan anting-anting emas,” katanya dalam pernyataan bertulis yang dibaca di mahkamah.
Selepas Pandang tidak pulang ke rumah hingga 7 pagi esoknya, dia dan Ero Nyale (suami Muli) mencari isteri mereka di kawasan ladang sehingga ke Kampung Tebaang.
Dia berkata, pada 12.30 tengah hari, mereka dimaklumkan polis telah menjumpai mayat isteri mereka oleh seorang pemandu van ladang.
“Saya amat terkejut dan tidak dapat berkata apa-apa, apabila mendapat tahu mayat yang dijumpai terapung di sungai itu adalah mayat isteri saya,” katanya sambil menambah dia amat mengenali serta berkawan baik dengan Ahmad, dan Pandang sering menggunakan khidmat tertuduh untuk ke Daro bagi membeli barangan keperluan selepas menerima gaji.
Sijaya berkata, dia dan isterinya mula bekerja di ladang kelapa sawit itu sejak tiga tahun lalu dan mengenali tertuduh yang juga pemandu van di ladang tersebut.
Terdahulu, ketika Ero Nyale, 48, dipanggil memberi keterangan, jurubahasa Makassar yang dilantik Konsulat Indonesia, Muhiddin Salihi berdepan kesukaran berkomunikasi dengan saksi yang kelihatan masih takut dan mengalami gangguan emosi akibat kejadian itu.
Perbicaraan bersambung 25 Mac ini. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Dona Liyanna Sabariah Azmi, manakala Ahmad diwakili Ben Lau.