
Khairuzzaman berkata, ancaman yang dihadapi di negaranya adalah sama seperti yang dihadapi oleh Zakir, yang diberikan status PR selepas mendakwa nyawanya terancam jika beliau diserahkan kepada pihak berkuasa India.
“Jika kerajaan Malaysia menghantar saya pulang, saya akan didakwa di Bangladesh serta-merta tanpa mendapat keadilan yang sewajarnya. Nyawa saya akan berada dalam bahaya sama seperti Zakir Naik,” katanya kepada FMT.
“Terpulang kepada kerajaan Malaysia untuk mempertimbangkan perkara ini, tetapi saya amat mengalu-alukan dan berterima kasih kepada kerajaan jika ia menawarkan kepada saya status pemastautin tetap.”
Zakir yang juga pendakwah Islam kontroversi diberi status PR walaupun dikehendaki di negara asalnya India atas tuduhan penggubahan wang haram. Beliau mendakwa tuduhan itu sengaja direka oleh kerajaan India.
Putrajaya enggan menghantar pulang pendakwah itu walaupun ada permintaan daripada India dengan berkata, beliau mungkin tidak menerima perbicaraan yang adil di sana.
Khairuzzaman ditahan pihak imigresen kerana tinggal lebih masa pada 9 Feb dan ditahan selama enam hari walaupun mempunyai kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang sah dan membolehkannya tinggal di Malaysia secara sah tanpa visa.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah penangguhan sementara terhadap Jabatan Imigresen daripada menghantarnya ke Dhaka dan dia kemudiannya dibebaskan.
Selepas penahanannya, Menteri Luar Negeri Bangladesh Shahriar Alam berkata, Khairuzzaman akan dibawa pulang dan boleh disiasat semula kerana membunuh beberapa orang yang dipenjarakan di Dhaka pada 1975.
Khairuzzaman ditahan tanpa pertuduhan atau perbicaraan selama tiga tahun dan sembilan bulan pada 1996 berhubung kematian empat anggota parti politik Liga Awami (kerajaan semasa di Bangladesh) dan pemimpin negara itu di penjara. Khairuzzaman, yang juga bekas pegawai tentera, adalah suspek dalam pembunuhan itu.
Mengenai gesaan supaya diwujudkan dasar pasaran terbuka dalam pengambilan pekerja Bangladesh ke Malaysia, Khairuzzaman berkata, tiada had ke atas bilangan agensi yang dibenarkan semasa beliau mengetuai suruhanjaya tinggi itu dari 2007 hingga 2009.
Selain itu katanya, wujud persaingan yang lebih baik dan kos pengambilan pekerja menjadi lebih rendah ketika itu.
Bagaimanapun ada sindiket yang menghalang peluang pekerja Bangladesh bekerja di sini, katanya.
“Ia meningkatkan kos buruh dan pengambilan pekerja dimonopoli oleh segelintir pihak. Jelas sekali, ini tidak menguntungkan pekerja.”