Tony Pua keterlaluan serang lembaga pengelola sekolah Cina, kata Kit Siang

Tony Pua keterlaluan serang lembaga pengelola sekolah Cina, kata Kit Siang

Bagaimanapun, veteran DAP itu bersetuju dengan kritikan Tony Pua terhadap Najib Razak menggunakan sekolah itu untuk 'mengetepikan kleptokrasinya'.

Lim Kit Siang berkata, lembaga pengelola Sekolah Tinggi Foon Yew tidak patut dipersalahkan jika Najib Razak mahu melawat kerana beliau meluluskan pembinaan kampus sekolah itu di Seri Alam dan Kulai.
PETALING JAYA:
Veteran DAP, Lim Kit Siang mengakui Tony Pua keterlaluan dalam menyerang lembaga pengelola sebuah sekolah Cina terkemuka kerana mempelawa bekas Perdana Menteri, Najib Razak untuk berucap di kampusnya di Seri Alam, Johor.

Katanya, Pua agak keterlaluan menyerang ahli lembaga pengelola Sekolah Tinggi Foon Yew, tetapi beliau bersetuju dengan kritikan Ahli Parlimen DAP itu terhadap Najib yang menggunakan sekolah terbabit untuk “mengetepikan kleptokrasinya”.

“Lembaga pengelola Sekolah Tinggi Foon Yew tidak harus dipersalahkan jika Najib mahu melawat sekolah tersebut kerana beliau telah meluluskan pembinaan kampus sekolah itu di Seri Alam dan Kulai.

“Tetapi beliau tidak sepatutnya menyalahgunakan lawatannya untuk mencuci namanya daripada sabitan jenayahnya di mahkamah dan merayu masyarakat Cina supaya menyokong Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri Johor,” katanya dalam kenyataan.

Lim berkata, sekolah tidak harus dialihkan daripada tugas utamanya untuk melahirkan generasi akan datang yang dapat membezakan perkara betul dan salah serta tidak hilang kompas moral dalam kehidupan mereka.

Isnin lalu, Pua yang juga Ahli Parlimen Damansara mengkritik lembaga pengelola sekolah itu kerana mempelawa “kleptokrat terkenal di dunia” berucap di kampus Seri Alam.

Justeru beliau menuntut pengelola Sekolah Tinggi Foon Yew dipecat kerana “tidak berintegriti” dan gagal menunjukkan teladan baik kepada pelajar.

Najib kemudiannya menuduh Pua mengamalkan “politik ugutan” dan menyifatkan kritikannya terhadap sekolah itu amat tidak wajar serta membayangkan niatnya yang jahat untuk mengkritik sebuah sekolah berprestij.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.