
Leissner adalah saksi utama pendakwaan pada perbicaraan Roger Ng, 49, yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat dalam pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah.
Leissner, 52, mengaku bersalah atas tuduhan serupa pada 2018 dan bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan.
Dia berkata, selepas FBI menyampaikan sepina pada Februari 2016, Ng dan isterinya, Lim Hwee Bin, mencadangkan agar dia berunding dengan pakar feng shui yang mereka percayai untuk bertanya sama ada mereka “akan berdepan masalah”.
Ng meninggalkan Goldman pada 2014, katanya.
Tuduhan-tuduhan ini berasal daripada salah satu skandal kewangan terbesar dalam sejarah. Pendakwa berkata, dari 2009 hingga 2014, Goldman memperoleh bayaran USD600 juta hasil kerjanya mengumpul USD6.5 bilion untuk 1MDB melalui jualan bon.
Sebanyak USD4.5 bilion disalurkan sebagai rasuah dan sogokan kepada pegawai kerajaan, pegawai bank dan rakan kongsinya.
Leissner memberi keterangan bahawa dia dan Ng memainkan peranan penting dalam skim itu dan dia sendiri memindahkan wang sogokan berjumlah USD35 juta kepada Ng.
Ng adalah pegawai bank tertinggi Goldman di Malaysia, manakala Leissner menyelia pasukan Asia Tenggara firma itu.
Semalam, Leissner berkata, Ng dan isterinya, Lim, menghadiri pertemuannya dengan pakar feng shui itu di sebuah hotel di Hong Kong.
Katanya, menurut pakar feng shui itu, dia akan berdepan masalah dengan pihak berkuasa dalam tempoh lima tahun akan datang tetapi masalah itu akan selesai sendiri.
“Saya dalam keadaan panik. Mereka rasa ini akan beri saya keselesaan dan mereka mahu tunjuk sokongan mereka,” kata Leissner.
Pada akhir pertemuan itu, Leissner berkata, dia, Ng dan Lim merekayasa “cerita” yang melibatkan Lim dan isteri Leissner ketika itu, Judy Chan, bagi menjelaskan wang USD35 juta itu.
Keterangan ini boleh menimbulkan masalah bagi Ng, yang berhujah bahawa wang yang didakwa sebagai keuntungan haram itu sebenarnya diperoleh daripada usaha perniagaan yang sah antara dua isteri lelaki itu.
Peguam Ng berkata, dia tiada peranan dalam skim itu selain memperkenalkan Leissner kepada perantara yang rapat dengan kerajaan Malaysia.
Ng kemudiannya memberi amaran kepada Goldman supaya tidak mempercayai pengantara itu, tambahnya.
Peguam Ng dijangka memanggil Lim untuk memberi keterangan dalam pembelaan suaminya. Mereka mula memeriksa balas Leissner, yang memberi keterangan selama lima hari, pagi esok.
Goldman pada 2020 membayar denda hampir USD3 bilion dan mengatur supaya unitnya di Malaysia mengaku bersalah di mahkamah AS.