
Wong berkata, Mas Ermieyati memberikan “alasan yang sama sekali tidak boleh diterima” dengan berkata, penutupan sempadan Malaysia-Singapura menghalang pihak berkuasa daripada melengkapkan siasatan ke atas Tawfiq Ayman, suami bekas gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz, berkaitan skandal itu.
“Perjalanan antara Malaysia dan Singapura menjadi lebih mudah di bawah program Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL),” katanya kepada FMT.
Mas Ermieyati memberitahu Dewan Rakyat semalam bahawa polis sepatutnya meneruskan siasatan di Singapura tetapi tidak dapat berbuat demikian ekoran pintu sempadan ditutup.
Wong berkata, tidak ada apa-apa yang menghalang pihak berkuasa Malaysia daripada pergi ke Singapura untuk memeriksa dokumen asal atau memperoleh salinan yang disahkan oleh notari Singapura.
“Pada zaman ini, salinan digital dokumen yang disahkan dan selamat sepatutnya memadai untuk tujuan penyiasatan,” katanya. “Alasan yang dibuat untuk menjelaskan kurangnya tindakan oleh pihak berkuasa adalah tidak masuk akal.”
Pengarah eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel berkata, Mas Ermieyati memberi “alasan yang menyedihkan” dan pada masa sama menyatakan banyak inisiatif berlaku antara dua kerajaan Malaysia dan Singapura.
“Malaysia mesti memperbaiki keadaan dan melaksanakan langkah-langkah dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menentang Rasuah dan mengukuhkan kerjasama antarabangsa seperti yang diperuntukkan dalam konvensyen untuk menyelesaikan persoalan aliran wang yang berkaitan dengan Tawfiq,” katanya kepada FMT.
Pada Mac tahun lalu, polis dilaporkan memulakan siasatan terhadap dana berkaitan 1MDB yang didakwa dipindahkan ke sebuah akaun bank milik Tawfiq di Singapura.
Polis Singapura dilaporkan telah memaklumkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai transaksi yang mencurigakan pada 2015 dan 2016 melibatkan sebuah syarikat milik suami Zeti dan salah seorang anak lelakinya.
Mereka yang dipetik sebagai berkata, dana yang disalurkan kepada syarikat itu adalah daripada akaun dikaitkan dengan Low Taek Jho atau Jho Low, yang didakwa menjadi dalang di sebalik skandal kewangan 1MDB.
Zeti adalah gabenor Bank Negara ketika itu.