Mungkir janji kahwin pasangan Muslim, kes perlu didengar mahkamah syariah

Mungkir janji kahwin pasangan Muslim, kes perlu didengar mahkamah syariah

Hakim Mahkamah Sesyen Rohatul Akmar Abdullah berkata perkara berkenaan bukan dalam bidang kuasa mahkamah sivil.

Mahkamah sivil tiada bidang kuasa dalam perkahwinan dan pertunangan membabitkan pasangan Muslim, kata hakim Mahkamah Sesyen. (Gambar Reuters)
SHAH ALAM:
Mahkamah Sesyen di sini membatalkan saman mungkir janji kahwin yang difailkan seorang wanita beragama Islam atas alasan perkara itu berada dalam bidang kuasa mahkamah syariah.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah, berkata beliau membenarkan saman itu dibatalkan kerana kedua-dua pihak adalah Muslim.

“Permohonan untuk membatalkan saman defendan dibenarkan kerana mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa berhubung perkahwinan dan pertunangan Muslim,” kata Rohatul dalam penghakiman yang disiarkan di laman web badan kehakiman.

Beliau berkata, kemungkinan untuk plaintif, Nor Shahida Roslin, 25, berjaya dalam saman dikemukakan terhadap Najib Zulkefli, 23, adalah tipis dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Mahkamah juga memerintahkan kos RM2,000 dibayar kepada Najib.

FMT difahamkan, Shahida telah memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Dalam penghakiman 13 muka surat, Rohatul berkata, tindakan Najib berjanji secara lisan dan menerusi pesanan teks melibatkan dua individu Muslim.

“Isu melibatkan pertunangan antara dua orang beragama Islam juga tertakluk dalam senarai negeri dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Pasangan berkenaan berjumpa dan bercinta di institut latihan kerajaan pada 2017 sebelum Najib, secara lisan dan menerusi mesej Whatsapp, berjanji akan menikahi Shahida.

Shahida, yang memfailkan saman berkenaan tahun lalu berkata, dia ada menuntut janji itu selepas kedua-dua mereka meninggalkan institut berkenaan dan mula bekerja.

Najib, bagaimanapun menjauhkan diri dan memberi alasan serta menyekat nombor telefon bimbit Shahida, selain enggan menemuinya.

Menurut Shahida, tindakan Najib memungkiri janjinya itu menyebabkan dirinya berada dalam keadaan tertekan kerana mereka pernah melakukan hubungan kelamin ketika bercinta.

Beliau berkata, mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa mendengar dan memutuskan kesnya kerana terdapat kausa tindakan yang sah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.