Wajib ambil dos penggalak bagi solat Jumaat atas perkenan Sultan, tegas kerajaan Selangor

Wajib ambil dos penggalak bagi solat Jumaat atas perkenan Sultan, tegas kerajaan Selangor

Perkenan Sultan melalui surat arahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertarikh 21 Feb lepas, kata Exco.

Hanya individu yang telah mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 dibenar mendirikan solat Jumaat di Selangor. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Kerajaan Selangor menegaskan bahawa ketetapan bahawa hanya individu yang telah mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 dibenar mendirikan solat Jumaat adalah berdasarkan perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri Mohd Zawawi Ahmad Mughni dalam kenyataan hari ini memaklumkan, perkenan Sultan itu adalah melalui surat arahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertarikh 21 Feb lepas.

“Sesungguhnya perkenan ini merupakan keprihatinan baginda untuk mengelakkan jangkitan wabak Covid-19 setelah mendapat nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berikutan perkembangan terkini jangkitan,” katanya.

Menurutnya, pendekatan menggalakkan rakyat di negeri itu mengambil dos penggalak bertepatan dengan salah satu prinsip maqasid syariah, iaitu memelihara nyawa, dan kerajaan negeri amat prihatin terhadap kesihatan dan kemakmuran rakyat serta sentiasa berusaha mengambil tindakan terbaik untuk mencapai maksud tersebut.

“Kerajaan juga yakin bahawa perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mewajibkan pengambilan dos penggalak bagi menyertai solat Jumaat di masjid adalah berasaskan konsep fiqhiyyah, iaitu sadd adz-dzara’i.

“Konsep ini bermaksud ‘mencegah sesuatu perkara yang boleh membawa ke arah kerosakan dan bahaya,” katanya.

Mohd Zawawi turut menasihatkan rakyat Selangor agar segera mengambil dos penggalak di pusat pemberian vaksin berhampiran bagi memastikan kesihatan diri sendiri, keluarga dan kepentingan awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.