Remaja lelaki korban kedua banjir di Kelantan

Remaja lelaki korban kedua banjir di Kelantan

Menurut polis remaja terbabit dipercayai sedang menunggang basikal bersama rakannya sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam tali air.

Menurut polis, mangsa cuba diselamatkan rakannya, bagaimanapun gagal dan dia memanggil penduduk berdekatan meminta pertolongan. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Seorang remaja lelaki berumur 13 tahun menjadi korban kedua banjir di Kelantan selepas ditemui lemas di Kampung Talang dekat Kadok di sini, pada 7.15 malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata, Mohamad Fazli Tamri, iaitu pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Kiat di sini, dipercayai sedang menunggang basikal bersama rakannya sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam tali air di kampung itu pada 6.20 petang.

“Rakannya cuba menyelamatkan mangsa, bagaimanapun gagal dan telah memanggil penduduk berdekatan meminta pertolongan.

“Operasi mencari berjaya menemui mangsa kira-kira 50 meter dari tempat dia terjatuh,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Muhamad Zaki berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat dan tindakan selanjutnya.

Terdahulu, seorang warga emas lelaki berusia 70 tahun menjadi korban pertama banjir di Kelantan yang ditemui lemas hari ini di Kampung Kuala Gris dekat Dabong, Kuala Krai pada 7 malam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.