
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna turut berdukacita dan terkesan dengan nasib yang menimpa penduduk di kawasannya yang ketika ini sedang berdepan musibah banjir terburuk.
“Walau bagaimanapun, saya mengikuti rapat perkembangan banjir di Hulu Terengganu dan telah mengarahkan pegawai dan petugas Pusat Khidmat Ahli Parlimen Hulu Terengganu untuk menggerakkan misi bantuan kepada mangsa banjir secepat mungkin.
“Saya terkilan dan mohon maaf kerana tidak dapat pulang ke kawasan menjenguk mereka yang terjejas dengan banjir buat masa ini kerana sedang menjalani kuarantin,” katanya di Facebook malam ini.
Banjir kali ini adalah yang terburuk di Hulu Terengganu berbanding tahun sebelum ini kerana banyak kawasan yang biasanya tidak terjejas, turut dilanda banjir malah dilaporkan ada pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Kampung Lubuk Periuk dan Kampung Peneh, turut dinaiki air.
Rosol berkata, beliau telah meminta petugas Pusat Khidmat Ahli Parlimen Hulu Terengganu supaya sentiasa bersedia dan mengenal pasti mangsa yang memerlukan bantuan supaya dapat dibantu sewajarnya dengan segera.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan terutama makanan dalam situasi yang sukar ini.
“Sehingga kini, bekalan makanan dan keperluan dilaporkan mencukupi termasuk di kawasan terlibat banjir, namun jika ada sebarang masalah, boleh diadukan kepada talian aduan KPDNHEP supaya tindakan segera dapat diambil.
“Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak termasuk pegawai dan anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, RELA, petugas kesihatan, petugas Parlimen Hulu Terengganu dan Dewan Undangan Negeri Ajil, Kuala Berang, Telemong dan Manir serta semua yang bertungkus lumus bertugas membantu mangsa banjir kali ini,” katanya.