
Najib berkata, kritikan Tony Pua itu amat tidak wajar, malah membayangkan niatnya yang jahat untuk mengkritik sebuah sekolah berprestij dan beliau menyifatkan serangan itu sekadar bagi meraih sokongan dalam pilihan raya.
“Jika ada masalah dengan saya, serang saya. Jangan serang lembaga pengelola sekolah yang telah melakukan tugas sebaiknya,” katanya dalam hantaran di Facebook malam ini.
Beliau turut menyoal apa hak Ahli Parlimen Damansara itu menghukum kewibawaan lembaga berkenaan yang berjaya menjadikan sekolah tinggi itu salah sebuah institusi pendidikan Cina bebas terbesar dengan sejarah menjangkau 71 tahun.
Terdahulu, Pua hari ini mengkritik lembaga pengelola sekolah itu kerana mempelawa Najib berucap yang disifatkannya menunjukkan “contoh paling buruk untuk anak-anak kita” kerana mempelawa “kleptokrat terkenal di dunia”.
Pua turut menuntut pengelola sekolah itu dipecat kerana “tidak berintegriti” dan gagal menunjukkan teladan baik kepada pelajar.
Bagaimanapun, Najib berkata, ketika memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan, beliau yang meluluskan pembangunan kampus sekolah itu di Kulai dan Bandar Seri Alam.
Beliau memutuskan untuk melawat kampus Bandar Seri Alam minggu lalu untuk melihat sendiri perkembangannya.
“Adakah salah apabila saya diminta berkongsi sepatah dua kata dengan fakulti serta pelajar berkenaan, selain melihat kemajuan dikecapi selepas pembukaannya tahun lalu?” soalnya.
Najib mendakwa serangan Pua terhadap sekolah itu jelas menunjukkan kekecewaan DAP yang sekian lama terpendam kerana ahlinya sendiri tidak dilantik ke lembaga sekolah antara paling dihormati di negara ini.
“Tony, teruskanlah tujukan tenaga dan perhatian terhadap saya. Tetapi biarkan sekolah itu dan warganya terus melaksanakan tugas mereka yang mulia itu.”