200,000 rakyat Johor di Singapura layak undi pos

200,000 rakyat Johor di Singapura layak undi pos

Angka itu diperoleh menerusi rekod pendaftaran di aplikasi ImmuPlan iaitu platform vaksinasi kerajaan negeri yang melaksanakan semua jenis program dan inisiatif membabitkan pembekalan vaksin.

Undi pos dibenarkan kepada pekerja Malaysia susulan mereka tidak dibenarkan membuang undi di kedutaan Malaysia di Singapura. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kira-kira 200,000 rakyat Johor yang menetap dan bekerja di Singapura layak mengundi secara pos pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Mac ini.

Menteri Besar, Hasni Mohammad berkata, angka itu diperoleh daripada rekod pendaftaran di aplikasi ImmuPlan, iaitu platform vaksinasi kerajaan negeri yang melaksanakan semua jenis program dan inisiatif membabitkan pembekalan vaksin.

Beliau berkata, daripada 300,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, dianggarkan hampir 200,000 adalah rakyat Johor yang layak mengundi pada PRN kali ini.

“Saya percaya kaedah undi pos pilihan terbaik buat masa ini berikutan kuota Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) yang dilaksanakan di sempadan Malaysia-Singapura hingga kini terhad.

“Ketika Johor sudah mendapatkan tarikh mengadakan PRN, kita memohon undi pos dibenarkan kepada pekerja Malaysia yang berada di negara jiran itu susulan mereka tidak dibenarkan membuang undi di kedutaan Malaysia di Singapura.

“Oleh kerana sekatan rentas negara, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akhirnya membenarkan permohonan kita bagi membuat undi pos, walaupun sebelumnya ia tidak dibenarkan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Hasni berkata, kebenaran undi pos itu adalah sebagai pemudah cara untuk rakyat Johor di Singapura bagi melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi, seterusnya menyumbang kepada proses demokrasi.

“Saya difahamkan SPR dalam proses menghantar kertas undi pos ke negara itu selepas senarai calon yang bertanding dimuktamadkan,” katanya.

SPR mengumumkan PRN Johor akan berlangsung pada 12 Mac dengan 8 Mac sebagai tarikh mengundi awal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.