
Hakim Mahkamah Rayuan Ahmad Nasfy Yasin yang membenarkan rayuan Saiful Adly Zakaria, 39, dan Azrul Alias, 36, berkata, hakim perbicaraan terkhilaf dalam dapatannya bahawa kedua-dua mereka mempunyai niat bersama untuk melakukan jenayah itu.
“Tiada rancangan dan pertemuan yang diatur sebelumnya untuk menunjukkan bahawa kedua-duanya mempunyai niat untuk mengedar dadah. Sabitan tidak selamat,” kata Nasfy.
Panel hakim dipengerusikan Hanipah Farikullah, mendengar hujahan lisan dua bulan lalu. Anggota lain ialah Che Mohd Ruzima Ghazali.
Adly, Azrul dan Bukhti Shukran Abdul Rahman, 35, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam tiga tahun lalu atas kesalahan mengedar 971.6g methamphetamine di kawasan tempat letak kereta Aeon di Bukit Rimau, Shah Alam, kira-kira 6.20 petang, 7 Ogos 2017.
Seseorang itu dianggap sebagai pengedar jika memiliki 50g methamphetamine atau lebih.
Panel itu bagaimanapun mengesahkan sabitan dan hukuman terhadap Bukhti.
Fakta kes mendedahkan Bukthi dari Telok Panglima Garang di Kuala Selangor, memandu ke bengkel di Bandar Sunway untuk membaiki keretanya.
Bukhti berkata, dia perlu mengambil alat ganti di Aeon dan ketiga-tiga mereka ke sana menaiki kereta.
Ia juga didedahkan semasa perbicaraan bahawa Bukhti menerima panggilan daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai “Boy” mengatakan dia berada di tempat letak kereta untuk menghantar alat ganti.
Bagaimanapun, sebaik tiba, polis memeriksa kereta dan menemui dadah yang disorokkan di tempat duduk penumpang belakang.
Nasfy berkata, rayuan Bukhti diketepikan kerana bukti mendedahkan bahawa dia bertanggungjawab ke atas kereta pinjam itu sebulan sebelum kejadian.
“Pihak pembelaan juga tidak mencabar pemilik kereta mengenai dadah yang ditemui di dalam kereta itu,” katanya.
Peguam Rafique Rashid Ali dan Fahmi Abdul Moin mewakili tiga lelaki terbabit manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya How May Ling.