Bekas atlet hoki olimpik Yahya Atan meninggal dunia pada usia 67

Bekas atlet hoki olimpik Yahya Atan meninggal dunia pada usia 67

Yahya Atan yang juga ketua jurulatih pasukan hoki wanita Sabah meninggal dunia akibat strok.

Yahya Atan, yang meninggal dunia, hari ini, pernah bertanding di Sukan Olimpik Los Angeles 1984. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas pemain hoki kebangsaan, Yahya Atan, meninggal dunia di hospital, hari ini, akibat strok. Allahyarham berusia 67 tahun.

Persatuan Hoki Sabah mengesahkan pemergian Yahya. “Kehilangan besar buat peminat hoki tanah air. Seorang yang sangat dedikasi dan pencinta tegar sukan hoki,” kata persatuan itu dalam hantaran di Facebook.

Yahya adalah ketua jurulatih pasukan hoki wanita Sabah sebelum kematiannya.

Difahamkan, allahyarham menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur, sejak minggu lalu selepas diserang strok.

Allahyarham Yahya bertanding di Sukan Olimpik Los Angeles 1984, yang mana pasukan kebangsaan mengakhiri saingan pada kedudukan 11. Beliau juga pernah melatih pasukan piala dunia remaja kebangsaan, dengan mengakhiri saingan pada kedudukan 12, pada 2001, dalam Piala Dunia Remaja Tasmania.

Kematiannya adalah yang kedua membabitkan bekas atlet olimpik. Bekas legenda pelari jarak sederhana, R Subramaniam, 83, meninggal dunia, pada jam 2 petang, hari ini, sejam selepas dimasukkan ke wad susulan mengadu sakit dada.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.