
Difahamkan kesemua pemancing berkenaan diselamatkan oleh bot nelayan dan aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis, memaklumkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih dalam usaha menyelamatkan semua mangsa.
“Kapal KM Tenggol dan Bot Penyelamat 5 milik APMM dalam perjalanan ke posisi bot nelayan yang dilaporkan menyelamatkan mangsa.
“Kita masih dalam usaha menyelamat,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Media sebelum ini melaporkan dalam kejadian 2 petang hari ini, bot terbabit dipercayai karam pada kedudukan 9.4 batu nautika Barat Pulau Beras Basah, Langkawi, dan dilaporkan membawa kumpulan pemancing dari Banting, Selangor dan Kuala Lumpur.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis Zawawi Abdullah, dipetik berkata, pihaknya telah menghantar tiga aset ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Katanya, menerusi sektor operasi yang diperluaskan dari lima hingga 10 batu nautika, pasukan SAR menemui beberapa objek terapung termasuk tong ikan, tin biskut dan gabus dipercayai milik bot berkenaan.
Sementara itu MalaysiaGazatte melaporkan, tekong bot karam yang ingin dikenali sebagai Pak Tam, memberitahu kesemua mereka diselamatkan tekong sebuah bot pukat tunda pada jam 7 malam tadi.
Mengulas mengenai kejadian, Pak Tam berkata, mereka yang dalam perjalanan memancing itu tiba-tiba dipukul ombak serta ribut kuat, sekali gus menyebabkan bot yang dinaiki terbalik.
“Masing-masing hanyut jauh daripada lokasi bot terbalik namun syukur kesemua kami yang terdiri daripada empat kru serta 14 pemancing berjaya diselamatkan sebuah bot pukat tunda.
“Alhamdulillah kami selamat dan kini dalam perjalanan ke jeti dengan bantuan pihak Maritim Malaysia,” katanya.