
Dobby Chew daripada Rangkaian Antihukuman Mati Asia (ADPAN) berkata, mahkamah akan mendengar permohonan Pausi, bersama warga Singapura, Roslan Bakar dan Rosman Abdullah, berhubung keperlembagaan hukuman mati mereka pada 28 Feb ini, manakala rayuan Nagaenthran didengar keesokannya.
“ADPAN akan memantau perbicaraan mahkamah akan datang membabitkan empat lelaki ini,” katanya dalam sidang media.
Chew berkata, Pausi disahkan mempunyai tahap IQ 67, tetapi hakim perbicaraan memutuskan IQ rendah sahaja tidak membuktikan keabnormalan otak.
Bagi Nagaenthran, selain keperlembagaan hukuman matinya, rayuannya turut membabitkan usul penilaian semula keadaan mentalnya oleh panel psikiatri baharu.
Aktivis dan wartawan bebas, Kirsten Han dalam sidang media berkata, tiada hukuman mati dilaksanakan dari 2020 hingga 2021, jadi kini timbul kebimbangan hukuman mati akan dilakukan untuk menyelesaikan kes tertunggak.
“Satu sebab bagi kes tertunggak ialah pada 2012 atau 2013, Singapura meminda Akta Penyalahgunaan Dadah 1973 untuk mengubah kriteria mahkamah menjatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup ke atas seseorang.
“Akibatnya, banduan yang disabitkan bersalah dan telah dijatuhkan hukuman layak dihukum semula, menyebabkan kes tertunggak. Empat lelaki ini juga layak dihukum semula.”
Khamis lalu, Presiden Singapura, Halimah Yacob menangguhkan pelaksanaan hukuman mati ke atas Pausi dan Roslan yang disabitkan bersalah mengedar dadah pada 2010.
Kedua-dua lelaki itu dijadualkan menjalani hukuman mati sehari sebelum itu, tetapi diberikan penangguhan sementara menunggu rayuan. Rayuan mereka bagaimanapun ditolak kemudian.
Peguam mewakili dua lelaki itu memfailkan satu lagi permohonan untuk mencabar keperlembagaan hukuman mati itu.