
Ketua Polis Daerah Brickfields Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki, iaitu pengarah di sebuah syarikat swasta berkenaan perkara itu.
“Mangsa telah diperkenalkan oleh kenalannya kepada seorang lelaki dikenali dengan nama panggilan ‘Shahidi’ di Taman Tun Dr Ismail di sini.
“Semasa perjumpaan pada 26 Jan lepas, suspek telah menawarkan bantuan mendapatkan gelaran Datuk daripada Istana Negara dengan harga tawaran RM 150,000 kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, mangsa bersetuju dengan tawaran itu dan pada hari sama telah membuat bayaran secara tunai berjumlah RM 40,000 dan diberitahu oleh suspek bahawa baki bayaran boleh diselesaikan setelah gelaran Datuk diperolehinya.
Amihizam berkata, mangsa dijanjikan gelaran Datuk pada 27 Jan lepas namun suspek gagal menunaikan janji dan memberi pelbagai alasan menyebabkan mangsa tidak berpuas hati dan rasa diri tertipu.
Beliau berkata, sehubungan itu polis menahan kedua-dua lelaki yang disyaki di dua lokasi berasingan di Kedah, kelmarin.
“Siasatan awal terhadap suspek mendapati lelaki berumur 48 tahun yang bekerja sebagai jurujual kereta adalah dalang utama dalam kes ini. Suspek mendakwa pernah bekerja sebagai pengiring peribadi Istana di sebuah negeri dan mengakui berurusan dengan mangsa,” katanya.
Beliau berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu dan polis turut merampas dua telefon bimbit dan sekeping kad Ahli Setia Diraja yang mencurigakan turut dirampas.
Menurutnya, kedua-dua suspek direman selama tiga hari sehingga esok.