
“(Kita perlu) jujur mengenai perkara ini, bahawa sudah tentu terdapat risiko dalam mana-mana prosedur perubatan, tetapi ingin diulangi di sini, risikonya sangat kecil dan manfaat daripada suntikan dos penggalak adalah jauh lebih besar berbanding risiko kesan sampingan,” katanya kepada FMT sempena ulang tahun pertama program vaksinasi negara.
AEFI ditakrifkan sebagai sebarang kejadian perubatan yang tidak diingini selepas seseorang disuntik dan tidak semestinya disebabkan daripada akibat penggunaan vaksin.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesan advers adalah “kemungkinan sebarang tanda yang tidak diingini, penemuan makmal yang tidak normal, gejala atau penyakit”.

Ketika mendesak pelaporan AEFI yang lebih jelas, Ahli Parlimen DAP baru-baru ini menggesa KKM memberi maklum balas terhadap rayuan ibu bapa yang mahu siasatan lebih telus dilakukan apabila anak lelaki mereka meninggal dunia selepas 18 hari menerima suntikan vaksin.
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, sikap berdiam diri mengenai perkara itu menimbulkan syak wasangka dan isu itu hanya akan menghalang ibu bapa lain daripada memberi anak mereka vaksin Covid-19.
Pada November, FMT melaporkan bahawa kekurangan maklumat rasmi adalah sebab orang ramai teragak-agak untuk menerima suntikan dos penggalak.
Khairy menjelaskan bahawa ramai yang mengambil pendekatan “tunggu dan lihat” untuk menerima dos penggalak, namun beliau yakin sikap itu akan berubah menjadi lebih baik.
“Saya rasa apabila kita melihat keberkesanan suntikan dos penggalak dalam memastikan orang ramai selamat, terutamanya daripada simptom yang teruk dan kematian, lebih ramai orang akan tampil ke hadapan untuk menerimanya.”
Beliau juga berkata, rakyat Malaysia harus berbangga dengan program imunisasi negara – inisiatif terbesar seumpama itu dalam sejarah negara.
“Ia adalah salah satu yang terbaik dalam dunia dari segi liputan, kepantasan dan keberkesanan,” katanya.