Pengerusi EAIC tak tahu bagaimana ‘sistem’ polis berfungsi, kata Hamid

Pengerusi EAIC tak tahu bagaimana ‘sistem’ polis berfungsi, kata Hamid

Bekas Ketua Polis Negara itu memberi respons mengenai hasil siasatan EAIC berhubung dakwaannya sebelum ini bahawa wujudnya kartel dalam polis.

Abdul Hamid Bador mendakwa Pengerusi EAIC Sidek Hassan tidak biasa dengan ‘sistem’ polis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador melahirkan rasa kecewa dengan hasil siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Hamid mendakwa Pengerusi EAIC Sidek Hassan tidak biasa dengan “sistem” polis.

“Beliau sebenarnya tak tahu bagaimana sistem itu berfungsi..sangat menyedihkan,” katanya kepada FMT.

Siasatan itu adalah susulan dakwaan beliau mengenai kewujudan “kartel” dalam pasukan polis sebelum bersara tahun lalu.

Pengerusi EAIC Sidek Hassan, dalam kenyataan semalam berkata, suruhanjaya itu tidak dapat mengesahkan dakwaan Hamid.

Penemuan itu, berdasarkan keterangan saksi dan dokumen, dibuat sembilan bulan selepas ia melancarkan siasatan pada Mei.

Sebelum ini, pada sidang media terakhir sebagai Ketua Polis Negara April tahun lalu, Hamid pernah mendedahkan wujudnya gerakan dalaman membabitkan pegawai muda dalam polis yang bercita-cita menjatuhkan beliau.

Adakah EAIC ambil keterangan Hamid?

Sementara itu, seorang pemimpin DAP meminta EAIC mendedahkan sekiranya suruhanjaya berkenaan mengambil keterangan daripada Hamid dalam siasatannya.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, hasil siasatan EAIC bertentangan dengan pendedahan Hamid dan tertanya-tanya sama ada ia lengkap atau tidak.

“EAIC juga perlu dedahkan siapa yang disiasat dan jika saksi ini mempunyai kepentingan dalam hasil siasatan.

“Persoalan sama ada keterangan diambil daripada pihak bebas adalah penting kerana jika ini tidak dibuat, ia tidak boleh dikatakan bahawa penemuan EAIC saksama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.