
Walaupun beliau menggemari pekerjaannya sebagai pembantu chef di sebuah hotel di Genting Highlands, beliau sudah lama berhasrat untuk membeli kendera saji agar dapat menyajikan masakannya kepada lebih ramai pelanggan.
Loh berkata, perniagaannya menjual nasi ekonomi di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, Kedah, suatu ketika dahulu maju dan beliau percaya dapat menjayakannya kembali.
“Minat saya adalah memasak. Saya juga belajar seni kulinari di kolej komuniti,” katanya kepada FMT.
“Pada mulanya, saya ingin menyewa gerai di sebuah kedai dekat Cameron Highlands, tetapi saya fikir, kalau saya ada kendera saji, saya boleh jual hidangan saya merata-rata tempat. Dengan cara itu, saya dapat meraih lebih pendapatan untuk menampung pengajian anak-anak saya. Saya nak hantar mereka ke universiti.
“Saya dah beli semua peralatan memasak, ingat dapat sewa gerai kecil. Saya juga ada lihat kendera saji dijual dalam talian, tetapi saya tak pasti sama ada mampu untuk membelinya sekarang. Saya sudi terima apa-apa nasihat.”
Loh berkata, beliau mahir menyediakan pelbagai juadah kaum Cina dan India dan char koay teow serta mi goreng yang dijualnya mendapat sambutan di Sungai Petani.
Di rumahnya di Lembah Klang beliau berkata, hari ini adalah “hari yang indah” buatnya.
“Anak-anak saya, bila bangun, kata mereka rindu maggi goreng saya. Jadi saya masak untuk mereka dan mereka gembira.
“Nanti saya akan bawa mereka beli pakaian, terutamanya untuk yang bongsu, yang dah minta macam-macam,” katanya.
Anak kembar perempuan Loh yang berusia 14 tahun dan anak lelakinya berusia 10 tahun kedengaran gembira ketika bercakap menerusi telefon.
Apabila ditanya mengenai cita-cita, salah seorang anak perempuan Loh berkata, beliau ingin memasuki akademi polis, manakala seorang lagi berkata, dia ingin menjadi kaunselor atau pengamal undang-undang.
“Saya hendak belajar membaiki dron besar apabila dah dewasa,” kata anak lelaki Loh, disambut ketawa kakaknya.