PRN Johor: PBM intai DUN Stulang, Maharani

PRN Johor: PBM intai DUN Stulang, Maharani

Menurut sumber terdekat parti itu, PBM akan bertanding di dua kerusi DUN berkenaan selain Puteri Wangsa dan Tiram pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.

PBM yakin menang di kerusi DUN Stulang dan Maharani kerana NGO Penggerak Komuniti Negara (PKN) sudah lama melakukan kerja di kawasan terbabit, menurut sumber.
PETALING JAYA:
Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang dan Maharani menjadikan jumlah keseluruhan kerusi yang akan ditandingi parti itu pada pilihan raya negeri (PRN) Johor sebanyak empat.

Menurut sumber terdekat dengan parti itu, dua kawasan DUN berkenaan dilihat antara kerusi yang “boleh menang” berdasarkan gerak kerja yang dilakukan oleh NGO Penggerak Komuniti Negara (PKN) sebelum menyertai PBM.

Sebelum ini FMT melaporkan dua daripada kerusi yang akan ditandingi PBM adalah dalam Parlimen Tebrau iaitu DUN Tiram dan Puteri Wangsa.

“Selain kedua-dua kerusi berkenaan, kita juga akan bertanding di DUN Stulang dan Maharani pada PRN ini.

“Calon kita orang tempatan yang merupakan ahli PKN yang memang dah lama buat kerja di situ menyebabkan kita yakin kita boleh takluk kawasan itu,” katanya kepada FMT.

Mengulas lanjut, sumber memaklumkan bahawa sebagai parti berbilang bangsa PBM akan membawa kelainan dengan menampilkan calon Melayu yang boleh bertutur dalam bahasa Mandarin di DUN Stulang.

“Di DUN Stulang, kalau parti lain letak calon bukan Melayu, kita akan letak calon Melayu yang boleh bertutur bahasa Mandarin dengan baik. Kita akan tawarkan wakil rakyat yang memahami kehendak dan keperluan penduduk di satu-satu kawasan. Itu kelebihan yang ada pada kita,” katanya.

Berdasarkan rekod, DAP mengekalkan kemenangan selama dua penggal di DUN Stulang dengan majoriti 12,470 undi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Berkaitan kempen pula, sumber memberitahu bahawa PBM tidak akan membuat serangan terhadap mana-mana parti politik bagi membawa agenda perubahan politik baharu kepada semua.

“Itu ‘The Great Reset’ yang kita maksudkan,” katanya.

Jelas sumber terbabit, pengumuman rasmi berkaitan semua calon PBM akan dibuat pada Khamis ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.