EAIC tidak dapat sahkan dakwaan wujud kartel dalam polis

EAIC tidak dapat sahkan dakwaan wujud kartel dalam polis

Dakwaan bekas Ketua Polis Negara Hamid Bador bahawa pegawai-pegawai tersebut dapat mencaturkan perjawatan dalam polis untuk menguasai pasukan demi kepentingan peribadi tidak dapat ditentusahkan.

Sidek Hassan berkata, siasatan EAIC mendapati wujud asas bahawa terdapat pegawai polis yang terlibat dalam kegiatan sindiket jenayah yang mana siasatan telah dijalankan oleh SPRM dan polis ke atas pegawai-pegawai tersebut. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) tidak dapat mengesahkan dakwaan bekas Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mengenai wujudnya kartel dalam polis.

Pengerusinya, Sidek Hassan berkata, siasatan EAIC mendapati wujud asas bahawa terdapat pegawai polis yang terlibat dalam kegiatan sindiket jenayah yang mana siasatan telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis ke atas pegawai-pegawai tersebut.

“Bagaimanapun, dakwaan Hamid bahawa pegawai-pegawai tersebut dapat mencaturkan perjawatan dalam polis untuk menguasai pasukan demi kepentingan peribadi tidak dapat ditentusahkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Hamid pernah mendedahkan wujudnya gerakan dalaman membabitkan pegawai muda dalam polis yang bercita-cita menjatuhkan beliau.

Katanya, gerakan itu juga membabitkan kumpulan sama yang mendalangi kartel dalaman polis yang berhasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka.

Dalam pada itu, Sidek berkata EAIC tidak dapat mengesahkan dakwaan Hamid berikutan keterangan yang diperolehi menunjukkan mekanisme pelantikan, kenaikan pangkat atau pertukaran yang diamalkan oleh polis dan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) melibatkan proses yang teliti dan mempunyai beberapa peringkat lapisan yang sukar ditembusi dan dicampur tangan oleh pihak luar.

Beliau berkata, Ketua Polis Negara (KPN) merupakan ahli tetap dalam SPP dan sebarang cadangan pelantikan, kenaikan pangkat atau pertukaran pegawai kanan polis kepada SPP perlu mendapat persetujuan daripadanya.

“Kedudukan Hamid selaku KPN tidak dapat digugat kerana pelantikan KPN adalah berdasarkan kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dan atas nasihat Perdana Menteri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.