Bekas Setiausaha Agung MCA saman anak lelaki, cucu, Shafee kerana ‘konspirasi’

Bekas Setiausaha Agung MCA saman anak lelaki, cucu, Shafee kerana ‘konspirasi’

Kam Woon Wah, 92, yang juga jutawan perniagaan mendakwa ketiga-tiga mereka berniat sama untuk memburukkan reputasinya dan menyebabkan gangguan mental.

Kam Woon Wah berkata, anak lelakinya, Tai Yeow, berdepan beberapa saman dan tidak berada dalam kedudukan memenuhi kewajipan undang-undang. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Bekas Setiausaha Agung MCA Kam Woon Wah memfailkan saman terhadap anaknya, cucu dan peguam kanan terkenal, Shafee Abdullah, kerana berkonspirasi untuk memburukkan reputasinya dan menyebabkan distres mental..

Jutawan perniagaan berusia 92 itu, memfailkan saman berkenana di Mahkamah Tinggi di sini, dua minggu lalu menerusi Tetuan Derek Chong, dengan menamakan Shafee, 70, sebagai defendan pertama, anak lelaki, Andrew Kam Tai Yeow, 60, dan cucu perempuan, Hannah Kam Zhen Yi, 30, masing-masing sebagai defendan kedua dan ketiga.

Dalam penyataan tuntutan Woon Wah, menyatakan dirinya sebagai ahli perniagaan dihormati dalam komuniti Cina dan sebagai bekas Ahli Parlimen.

Beliau menuntut ganti rugi am serta ganti rugi teladan, sekiranya mahkamah mendapati saman berkenaan mempunyai merit.

Beliau juga mendakwa, tidak dapat ditolak lagi kesimpulan bahawa Shafee, Tai Yeow dan Zhen Yi, berniat sama untuk memburukkan reputasinya dan menyebabkan distres mental.

Woon Wah berkata, anak lelakinya, yang juga ahli perniagaan, berdepan beberapa lagi saman dan rayuan antara dia atau syarikat yang dimiliki dirinya (Woon Wah), yang mana beliau adalah pemegang saham dan pengarah.

Katanya, antara September dan Disember tahun lalu, Tai Yeow menyedari bahawa dirinya berdepan beberapa saman dan tidak berada dalam kedudukan memenuhi kewajipan undang-undang.

Woon Wah berkata, Tai Yeow dengan bantuan Shafee dan Zhen Yi, mendakwa dirinya mengalami penyakit mental dan tidak berupaya menguruskan hal ehwal dirinya, termasuk pengurusan syarikat.

Beliau berkata, anaknya, dengan bantuan Shafee dan Zhen Yi, menyedia dan mengesahkan afidavit bagi dia (Tai Yeow) untuk digunakan dalam saman tertangguh bagi mendakwa beliau (Woon Wah) tidak sihat dari segi mental.

Pada 20 Dec, Tai Yeow memfailkan saman untuk menentukan tahap kesihatan ayahnya, dengan mendakwa kesihatan mental bapanya semakin buruk sejak beberapa tahun lalu, termasuk mempunyai masalah kesukaran berkomunikasi, selain kelihatan seperti orang yang hilang ingatan.

Dia memohon mahkamah memutuskan sama ada bapanya tidak berupaya dari segi mental dalam mengarahkan peguamnya mewakili dirinya.

Tai Yeow juga memohon perintah mahkamah bagi mendapatkan senarai semua aset dan hartanah dimiliki bapanya.

Dia juga memohon agar Woon Wah hadir ke mahkamah untuk dinilai mengikut Seksyen 52 Akta Kesihatan Mental, bertujuan membolehkan pakar kesihatan mental yang difikirkan sesuai oleh mahkamah mendapatkan akses penuh dan tanpa had membabitkan bapanya bagi tujuan pemeriksaan.

Tai Yeow memohon perintah mahkamah melantik jawatankuasa menguruskan hal ehwal Woon Wah dan hartanya sekiranya beliau didapati tidak berupaya dari segi mental menguruskan dirinya sendiri.

Woon Wah bagaimanapun, memohon mahkamah membatalkan saman berkenaan atas alasan ia tidak mendedahkan sebarang sebab tindakan munasabah dan ia adalah skandal, remeh dan menyusahkan, serta menyalahgunakan proses mahkamah.

Katanya, pada setiap masa, beliau mampu sepenuhnya menguruskan dirinya sendiri dan syarikat di bawah tanggungjawabnya, seperti disahkan dalam laporan pakar perunding psikiatri, tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.