Tiada bantahan keputusan mahkamah, keutamaan pertahan keislaman anak, kata Mufti Perlis

Tiada bantahan keputusan mahkamah, keutamaan pertahan keislaman anak, kata Mufti Perlis

Mohd Asri Zainul Abidin berkata beliau kini sedang melihat langkah lain di sudut undang-undang bagi mempertahankan keislaman anak Loh Siew Hong jika mereka ingin terus menganut Islam.

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin tidak terperanjat dengan keputusan mahkamah berhubung hak penjagaan anak Loh Siew Hong.
PETALING JAYA:
Tiada bantahan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan habeas corpus ibu tunggal Loh Siew Hong untuk mendapatkan semula hak penjagaan tiga anaknya, kata Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin.

Beliau berkata, apa yang menjadi keutamaan adalah untuk mempertahankan keislaman tiga kanak-kanak terbabit.

“Kita tidak terperanjat dengan keputusan hak penjagaan itu,” katanya.

Asri berkata, beliau kini sedang melihat langkah lain dari sudut undang-undang bagi mempertahankan keislaman anak Loh jika mereka ingin terus menganut Islam.

“Apa yang kita sedang pertahankan ialah keislaman anak-anak itu jika mereka ingin terus menganut Islam. Kita sedang melihat langkah-langkah lain di sudut undang-undang,” katanya.

Terdahulu, Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Loh selepas mendengar hujahan daripada peguamnya dan peguam yang mewakili ustazah Nazirah Nanthakumari Abdullah.

Menurut Mohd Asri lagi, pada 14 Feb lalu, pihaknya telah membawa kanak-kanak tersebut ke Balai Polis Kangar untuk diserahkan kepada Loh bagaimanapun proses penyerahan tidak dapat dilakukan kerana anak-anak itu enggan mengikut ibunya.

Terdahulu, beliau mengesahkan jabatan agama negeri itu mendaftarkan tiga kanak-kanak bawah umur itu sebagai Islam tanpa kehadiran Loh.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini memutuskan dan mengesahkan bahawa penukaran agama kanak-kanak bawah umur perlu mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.