
Sambil menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya mempertimbangkan semula keperluan pilihan raya negeri (PRN) Johor, Teo berkata, masih tidak jelas berapa hari diperlukan untuk permit diluluskan dan berapa banyak kertas kerja yang diperlukan.
“Ia juga membebankan polis yang perlu memfailkan dan menyemak setiap permohonan yang dikemukakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen DAP itu berkata, prosedur operasi standard (SOP) PRN Johor yang diumumkan pada 18 Feb adalah praktikal dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19, terutama ketika kes harian meningkat.
“Bagaimanapun adalah sangat mengecewakan untuk memastikan ceramah dibenarkan, kita perlu mendapatkan permit daripada polis.
“Prosedur birokrasi ini adalah regresif kerana permit bukan lagi satu keperluan kerana keperluan di bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967 untuk pemberian permit perhimpunan aman dimansuhkan pada 2012.
“Ketika ini penganjur hanya perlu memaklumkan kepada polis mengenai masa dan lokasi ceramah,” katanya.
Teo berkata, walaupun beliau memahami bahawa langkah berjaga-jaga diperlukan, terutamanya dengan pengundi luar yang pulang mengundi, beliau masih tidak dapat melihat sejauh mana permohonan permit ceramah itu relevan.
“Ia khususnya apabila SOP yang ada sudah cukup jelas dari segi aktiviti dan kapasiti yang dibenarkan,” katanya.