Selisih faham ‘isu cinta’, polis terima 2 laporan kejadian kecoh depan hospital di Perak

Selisih faham ‘isu cinta’, polis terima 2 laporan kejadian kecoh depan hospital di Perak

Menurut polis, punca kejadian disyaki perselisihan faham antara dua keluarga mengenai isu percintaan.

Tangkap layar video tular menunjukkan kekecohan yang berlaku di perkarangan Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak.
IPOH:
Polis menerima dua laporan mengenai dua kejadian kekecohan yang berlaku di pekarangan Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan Buntong di sini yang kedua-duanya mempunyai kaitan, sehingga tular dalam media sosial semalam.

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata, kes pertama adalah mendatangkan kecederaan oleh seorang lelaki dengan menggunakan senjata tajam di satu kawasan di Buntong sehingga menyebabkan tiga individu mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di HRPB.

“Punca kejadian disyaki perselisihan faham antara dua keluarga mengenai isu percintaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah,” katanya.

Beliau berkata kes kedua diterima pada pukul 12.20 tengah malam kelmarin di HRPB melibatkan sekumpulan lelaki yang ingin menghantar mangsa yang cedera (dalam kes pertama) ke hospital dan berlaku perselisihan faham dengan pengawal keselamatan hospital kerana terlalu ramai ingin masuk ke kawasan zon kecemasan.

Mior Faridalathrash berkata pihaknya telah mengambil tindakan segera dengan sampai ke tempat kejadian dan mengawal keadaan serta kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Menurutnya, polis sedang mengesan suspek yang dipercayai terlibat dalam kedua-dua kes berkenaan.

Mior Faridalathrash berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan ASP Fadli Ahmad menerusi talian 019-2500019.

Beberapa video dalam media sosial tular memaparkan pergaduhan oleh sekumpulan lelaki dengan pengawal keselamatan sehingga sebuah kereta dilihat merempuh pekarangan hospital tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.