
Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata arahan itu dikeluarkan selepas pihaknya mendapati aktiviti pengkuarian masih dijalankan, walaupun kelulusan penilaian kesan alam sekitar (EIA) untuk operasi itu tamat pada 7 Dis 2021.
Katanya, tapak kuari itu sepatutnya digunakan untuk membangunkan projek perumahan mengikut kontur pada 1994, tetapi ia ditangguhkan beberapa kali.
Beliau dalam kenyataan berkata, pemaju perumahan itu mengemukakan permohonan untuk menjalankan aktiviti pengkuarian di tapak itu pada 2013 dan kelulusan diberikan JAS negeri untuk tempoh tiga tahun.
Beliau berkata, beberapa lanjutan diberikan, dengan yang terakhir tamat tahun lalu.
Katanya, JAS tidak dapat mempertimbangkan lanjutan untuk aktiviti pengkuarian itu lagi, ekoran zon penampan terkini antara tapak terbabit dan rumah berdekatan tidak mencukupi.
Sharifah berkata, beberapa arahan berhenti kerja sudah dikeluarkan kepada kuari itu, susulan aduan berterusan daripada penduduk berkaitan gegaran, bunyi bising, habuk dan serpihan batu berterbangan.
Katanya, JAS sudah meminta pemaju terbabit mengemukakan pelan pengurusan alam sekitar (EMP).
“Sekiranya tiada laporan EMP dikemukakan dalam tempoh ditetapkan, pemaju dianggap tidak berminat meneruskan aktiviti perumahan.”
Beliau berkata, JAS sedang menyediakan kertas siasatan untuk mengheret pemaju dan kontraktor kuari ke mahkamah atas kesalahan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Tahun lalu, FMT melaporkan penduduk setempat mengadu mengenai letupan dan gegaran dari tapak kuari itu yang menyebabkan atap rumah, dinding dan lantai rumah mereka retak.