Buka semula sempadan seperti MPN cadang, kata Guan Eng

Buka semula sempadan seperti MPN cadang, kata Guan Eng

Lim Guan Eng berkata, sebarang kelewatan untuk berbuat demikian akan memudaratkan ekonomi negara.

Tiada sebab untuk melengahkan pembukaan semula sempadan apabila banyak negara jiran sudah berbuat demikian walaupun jangkitan meningkat, menurut Lim Guan Eng.
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa kerajaan membuka semula sempadan negara menjelang 1 Mac, seperti yang dicadangkan oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN) baru-baru ini.

“DAP bersedia mengenepikan perbezaan politik dan menyokong cadangan MPN untuk membuka semula sempadan negara dengan cepat menjelang 1 Mac demi kepentingan ekonomi negara dan selaras dengan protokol kesihatan antarabangsa semasa yang diamalkan di banyak negara asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim berkata, “normalisasi interaksi sosial” dan penyambungan semula penglibatan perniagaan akan membantu memulihkan ekonomi dan memudahkan peluang pekerjaan, terutamanya dalam sektor pelancongan.

Tambahnya, dengan Covid-19 beransur-ansur menjadi endemik, tiada sebab untuk melengahkan pembukaan semula sempadan apabila banyak negara jiran sudah berbuat demikian walaupun jangkitan meningkat.

“Kita mesti menerima, menyesuaikan diri dan tidak takut untuk hidup bersama Covid-19 seperti yang telah dilakukan oleh kebanyakan negara jiran. Sebarang kelewatan hanya akan memudaratkan ekonomi negara,” katanya.

“Kerajaan perlu menyedari bahawa mereka telah berulang kali gagal menguruskan Covid-19, termasuk gelombang jangkitan terbaru yang mujurlah mempunyai bilangan kes teruk Kategori 3-5 yang rendah, iaitu kurang 200 kes setiap hari.”

Beliau berkata lagi, kerajaan harus menambah lebih banyak sumber untuk meningkatkan kapasiti unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 jika peningkatan jangkitan memerlukan kadar kemasukan ke hospital lebih tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.