
Mereka mendakwa, ketiadaan iltizam politik menjadi punca kelewatan dalam membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat parti di Parlimen.
Bastian Pius Vendargon berkata, mentakrifkan “lompat parti” adalah mudah jika ada iltizam politik.
“Jika semua yang mengatakan mereka setuju dengan RUU Anti Lompat Parti menyokongnya di Parlimen, majoriti dua pertiga sudah memadai untuk pindaan perlembagaan dibuat,” katanya.

“Bagaimanapun, kita tertanya-tanya sama ada wujud iltizam untuk mencapai perundangan yang diperlukan.”
Vendargon berkata, pilihan raya kecil (PRK) bagi sesebuah kerusi perlu diadakan jika Ahli Parlimen atau ADUN yang dipilih meletak jawatan atau dipecat daripada parti kerana beliau dianggap telah melepaskannya.
Ini sepatutnya menjadi asas untuk takrifan “lompat parti”, katanya.
Dalam wawancara bersama media pada Selasa, Wan Junaidi berkata, tiada kata sepakat dicapai mengenai takrifan “lompat parti” dan ini menyukarkan penggubalan undang-undang mengenainya.

Andrew Khoo, Pengerusi Bersama Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam, bersetuju dengan Wan Junaidi bahawa terdapat pelbagai tafsiran tentang maksud lompat parti, tetapi beliau mendakwa, faedah bertukar pakatan menghalang pembentangan RUU membanteras lompat parti.
“Ramai dalam kerajaan, baik di peringkat negeri mahupun persekutuan, mendapat manfaat dengan melompat parti,” katanya.
“Cuba untuk menjadikannya salah di sisi undang-undang sama seperti membunuh angsa bertelur emas.”
Beliau berkata, Perlembagaan boleh dipinda tetapi semuanya bergantung kepada iltizam politik.
“Jika ada kata sepakat antara semua pihak dalam jurang politik, maka pindaan Perlembagaan boleh dibuat menerusi Parlimen,” katanya.
“Ia bergantung kepada sama ada mereka di pihak kerajaan dan pembangkang sanggup bangkit dan mengatakan bahawa undang-undang harus digubal untuk membanteras amalan lompat parti walaupun mereka mungkin mendapat manfaat daripadanya.”
Khoo berkata, penting untuk meluluskan RUU Anti Lompat Parti bagi memastikan wakil rakyat bertanggungjawab kepada pengundi.
Kerajaan berkata, ia akan membentangkan RUU itu pada sesi baharu Dewan Rakyat bermula 28 Feb.
Semalam, Ahli Jawatankuasa Pusat DAP Ronnie Liu dan Ahli Parlimen Subang PKR Wong Chen mempersoalkan kenyataan Wan Junaidi mengenai kesukaran merangka Undang-undang Anti Lompat Parti.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh juga mendakwa kerajaan bertangguh dalam menunaikan janjinya.
Badan pemerhati pilihan raya, BERSIH berkata penggubalan Undang-Undang Anti Lompat Parti akan memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem pilihan raya dan memberi sebab kepada pengundi untuk keluar mengundi sepenuhnya pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).