
Dalam kenyataan yang disokong 54 organisasi dan 118 individu, kumpulan itu kecewa dengan Projek Rintis Pembayaran Bantuan Bulanan Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) secara tanpa tunai (JKMPay) yang dilancarkan 9 April 2021 kerana menimbulkan kesukaran kepada OKU, termasuk dari segi mobiliti, akses kepada kemudahan dan sistem sokongan sosial.
Menurutnya, sebelum ini EPOKU diberikan secara tunai atau dikreditkan terus ke akaun penerima, namun kini, penerima dalam program perintis JKMPay diberikan bayaran tunai separuh daripada elaun, manakala separuh lagi dikreditkan ke Kad Tanpa Tunai JMPay mereka.
Kumpulan itu berkata, senario ini menimbulkan kesukaran khusunya kepada OKU di kawasan luar bandar kerana tidak ada atau tidak banyak kedai panel JKM yang berdaftar dengan Bank Islam, sekali gus menyukarkan mereka menggunakan bantuan kredit melalui JKMPay itu.
“OKU yang mengalami masalah pergerakan, pengguna kerusi roda dan mereka yang tidak mempunyai kenderaan sendiri, berdepan beban dan cabaran tambahan.
“Pergerakan mereka terhad disebabkan sistem pengangkutan dan persekitaran yang tidak boleh dilalui sejak sekian lama, begitu juga kedai berdaftar yang belum tentu menyediakan kemudahan laluan mesra kepada OKU,” menurut kenyataan itu.
Kumpulan itu turut menggesa KPWKM segera menubuhkan jawatankuasa khas terdiri daripada pemimpin OKU untuk mengkaji dan menghapuskan diskriminasi dalam pelaksanaan JKMPay kerana sebarang keputusan perlu mengambil kira pandangan masyarakat sebagai pihak berkepentingan.
Bulan lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun berkata, projek perintis JKMPay yang dimulakan di Perlis, Kedah dan Melaka sebelum diperluaskan ke negeri lain, masih di peringkat kajian sebelum dilaksanakan di seluruh negara.