Kenapa amah dilayan baik di Singapura, tapi bukan di Malaysia, soal Duta Besar Indonesia

Kenapa amah dilayan baik di Singapura, tapi bukan di Malaysia, soal Duta Besar Indonesia

Terdapat banyak kes pembantu rumah warga Indonesia dipaksa bekerja untuk majikan bertahun-tahun tanpa gaji di Malaysia, malah ada yang didera, kata Hermono.

Duta Besar Indonesia Hermono berkata, beberapa kes yang dikendalikan kedutaan bersifat seperti ‘perhambaan zaman moden’.
KUALA LUMPUR:
Duta Besar Indonesia Hermono mengeluh mengenai layanan buruk terhadap pembantu rumah warganegara itu di Malaysia, dengan mempersoalkan mengapa terdapat begitu banyak kes sedemikian di Malaysia, namun hampir tiada di negara jiran, Singapura.

Hermono berkata, terdapat banyak kes pembantu rumah dipaksa bekerja untuk majikan bertahun-tahun tanpa gaji, malah ada yang bekerja lebih sedekad dalam keadaan sedemikian.

Beliau berkata, terdapat juga pembantu rumah warga Indonesia yang dokumen pengenalan dirinya dirampas majikan, bekerja dalam tempoh lama tanpa cuti malah didera.

Menceritakan kes yang baru-baru ini dikendalikan bersama Jabatan Buruh Malaysia, beliau berkata, mangsa telah bekerja selama kira-kira 10 tahun tetapi majikan enggan membayar gajinya.

Majikan itu, katanya, memberi alasan bahawa ini wajar kerana mereka membiayai makan minum harian pembantu rumah terbabit dan membenarkannya tinggal di rumah mereka.

“Ini adalah contoh perhambaan atau buruh paksa zaman moden,” katanya kepada FMT dalam wawancara.

“Kita juga ada pembantu rumah di Singapura, Hong Kong dan Taiwan, tetapi tiada masalah serius seperti di sini (di Malaysia). Jadi kenapa kita ada masalah ini di sini?”

Beliau berkata, kes dikendalikan oleh kedutaan hanyalah sebahagian kecil daripada kes yang berlaku.

Katanya, ramai pembantu rumah Indonesia berdepan cabaran dalam melaporkan nasib mereka kepada kedutaan atau konsulat jeneral, atau tidak dapat lari daripada majikan mereka.

“Mereka diberi amaran, jika melarikan diri, polis akan menangkap mereka dan Imigresen akan menghantar mereka ke depot. Ancaman seperti ini adalah unsur buruh paksa.”

Beliau berkata, tahun ini saja pihak kedutaan campur tangan dalam 16 kes pembantu rumah yang dieksploitasi dan membantu pemulangan gaji tidak dibayar sebanyak lebih RM300,000.

Tahun lepas, kedutaan Indonesia membantu 206 kes, dengan lebih RM2 juta dibayar oleh majikan. Kini terdapat lebih 40 kes dihadapkan ke mahkamah, tambahnya.

Bagaimanapun, Hermono memuji pelan tindakan kebangsaan Putrajaya mengenai buruh paksa, dengan berkata ini menunjukkan pihak berkuasa mengiktiraf masalah tersebut di negara ini.

Berharap MoU dimuktamad segera

Hermono berkata, beliau berharap memorandum persefahaman (MoU) antara Jakarta dan Putrajaya mengenai pembantu rumah warga Indonesia akan dimuktamadkan dalam tiga pusingan rundingan seterusnya.

Setakat ini, sudah tujuh pusingan rundingan diadakan.

Beliau berkata, MoU itu melindungi pembantu rumah warga Indonesia dengan lebih baik melalui sistem satu saluran, yang akan dikawal oleh Indonesia, membolehkan Jakarta menjejaki keberadaan pekerja dan terus berkomunikasi dengan mereka.

Sistem gaji dalam talian turut dicadangkan bagi membolehkan pihak berkuasa Indonesia memantau sama ada pembantu rumah dibayar.

“Jika mereka terlepas (membayar gaji pekerja) walaupun sebulan, kita boleh menghubungi majikan melalui agensi dan bertanya mengapa mereka tidak membayarnya,” kata Hermono.

Beliau berkata, perlindungan bagi rakyatnya menjadi keutamaan utamanya sebagai Duta Indonesia, sambil menambah, pembantu rumah lebih terdedah kepada penderaan berbanding pekerja asing lain kerana mereka bekerja bersendirian dan tinggal di rumah majikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.