
Loh Siew Hong berkata, beliau membuat banyak laporan polis antara 2017 dan 2019 mengenai kecederaan yang didakwanya diakibatkan lelaki yang kini bekas suaminya, M Nagahswaran, semasa mereka masih suami isteri.
Wanita itu memberitahu FMT, beliau pernah didera begitu teruk sehingga dimasukkan ke hospital dua kali, termasuk kerana retak pergelangan tangan dan kaki pada 2017, dan patah sendi buku lali dua tahun kemudian.
Katanya, dalam satu kejadian dia dipukul begitu kuat di kepala sehingga menyebabkan luka yang memerlukan 27 jahitan.
Dalam kejadian pada 2019 itu, Loh mendakwa dia ditendang beberapa kali dan dipukul dengan besi dan tukul.
FMT menghubungi Ketua Polis Kuala Muda untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai laporannya.
“Ramai yang tanya, ke mana saya pergi sepanjang tiga tahun lalu,” katanya merujuk kepada komen pengguna media sosial.
Kata wanita berusia 34 tahun itu, malah seorang pengguna media sosial memuat naik video di halaman bernama “Stand For Nazirah Nantha Kumari”, yang seolah-olah memburukkan namanya.
Nazirah adalah pengusaha sebuah yayasan Islam di Bayan Lepas yang menjaga anak kembar Loh berusia 14 tahun dan anak lelakinya berusia 10 tahun selepas bapa mereka dipenjarakan.
“Saya buat keputusan untuk tidak bercakap banyak kerana sedang fokus untuk dapatkan anak-anak saya kembali. Tetapi, saya rasa dengan berdiam diri, lebih ramai orang fitnah saya. Jadi, sudah tiba masanya saya bersuara,” katanya.
Loh berkata, sejak tiga tahun lalu, dia tinggal di dua rumah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selama dua bulan pada satu-satu masa.
Katanya, dia bertuah kerana sebuah NGO, Women’s Centre for Change, membantunya membina semula kehidupan, mendapatkannya pekerjaan sebagai pembantu cef di sebuah hotel di Genting Highlands.
“Dengan pekerjaan saya sekarang, saya mampu simpan duit untuk bayar yuran guaman kes perceraian dan dapatkan hak jagaan anak,” katanya.
Anak-anak Loh kini berada bawah jagaan JKM sementara menunggu keputusan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baginya mendapatkan mereka semula.