Terpaksa pinjam ah long, pekerja pembersihan sekolah tuntut tunggakan gaji 3 bulan

Terpaksa pinjam ah long, pekerja pembersihan sekolah tuntut tunggakan gaji 3 bulan

Penasihat Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) V Selvam berkata pekerja berkenaan sudah menghantar surat kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam pada 31 Jan, namun tiada tindakan.

Penasihat Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) V Selvam (berbaju merah jambu) memantau piket pekerja pembersihan di sekitar daerah Sabak Bernam, yang didakwa tidak menerima gaji selama tiga bulan.
PETALING JAYA:
Seramai 53 pekerja pembersihan di 16 sekolah di sekitar daerah Sabak Bernam mendesak Kementerian Pendidikan campur tangan berhubung isu tunggakan gaji dihadapi mereka sejak Nov lalu.

Penasihat Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) V Selvam berkata, kumpulan pekerja berkenaan sudah pun menghantar surat kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam pada 31 Jan mengenai nasib mereka, namun sehingga kini tiada tindakan diambil.

Beliau berkata, ada pekerja terpaksa meminjam daripada ah long untuk meneruskan hidup dan membayar hutang lain.

“Mereka minta dibayar gaji sekarang juga… kerana ada antara mereka terpaksa meminjam daripada ah long kerana tak mampu nak bayar hutang… tiada duit nak makan.

“Bukan banyak pun gaji mereka, RM1,200 sahaja setiap bulan tetapi kontraktor yang dilantik KPM sudah lebih tiga bulan tidak bayar gaji mereka sejak November dan sekarang sudah Februari, tetapi masih tak nampak bayang mereka (majikan) mahu bayar,” katanya ketika dihubungi FMT.

Terdahulu, kira-kira 40 pekerja pembersihan sekolah berpiket di depan PPD Sabak Bernam bagi mendesak campur tangan berhubung isu tunggakan gaji mereka.

Beberapa pekerja pembersihan berpiket menyatakan bantahan mereka.

Selvam yang turut hadir dalam piket itu mendakwa, pekerja yang tidak dibayar gaji adalah daripada syarikat As Rezeki Resources dan Panggilan Efektif Enterprise, yang mendapat kontrak perkhidmatan kebersihan bangunan dan kawasan.

“PPD Sabak Bernam sepatutnya bertanggungjawab dalam memantau prestasi syarikat ini,” tegasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Selangor berkata, dua kontraktor berkenaan juga jelas melanggar Akta Kerja 1955 kerana gagal membayar gaji pekerjanya pada setiap bulan selewat-lewatnya pada 7 haribulan.

“Mengikut Akta Kerja 1955, mana-mana majikan pun perlu membayar gaji kepada pekerjanya setiap bulan selewat-lewatnya pada 7 haribulan.

“Jadi adalah jelas dua syarikat yang mengupah pekerja-pekerja pembersihan sekolah di sekitar Sabak Bernam ini telah melanggar Akta Kerja kerana gagal membayar gaji selama tiga bulan,” katanya.

Justeru beliau berkata, kumpulan pekerja berkenaan menuntut agar KPM segera menyenarai hitam dua syarikat berkenaan.

“Pekerja pembersihan sekolah yang berpiket pada hari ini juga menegaskan bahawa selagi mereka tidak dibayar gaji tunggakan tiga bulan, mereka tidak akan pergi bekerja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.