Saya tak pernah minta Muhyiddin campur tangan kes, kata Najib

Saya tak pernah minta Muhyiddin campur tangan kes, kata Najib

Bekas Perdana Menteri Najib Razak menegaskan beliau tidak pernah meminta bantuan daripada Muhyiddin Yassin menggugurkan kes dan menukar hakim.

Najib Razak berkata, beliau hanya menemui Muhyiddin sekali ketika beliau menjadi Perdana Menteri iaitu pada Dis 2020 untuk meminta orang ramai dibenarkan membuat pengeluaran daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
PETALING JAYA:
Bekas Perdana Menteri Najib Razak menegaskan bahawa beliau tidak pernah meminta bantuan daripada Muhyiddin Yassin untuk membebaskannya daripada tuduhan rasuah.

Ini susulan dakwaan Muhyiddin, yang merupakan Perdana Menteri bermula Mac 2020 hingga Ogos tahun lalu, bahawa beliau enggan memenuhi permintaan Najib dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan bantuan dalam kes rasuah membabitkan mereka kerana tidak mahu campur tangan dalam badan kehakiman.

“Tuduhan kini mula bertukar daripada Najib cari Muhyiddin untuk gugurkan kes ataupun Najib minta hakim-hakim ditukar kepada Najib hantar orang untuk lambatkan kes atau Najib minta Muhyiddin singkir Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya.

“Sekali lagi, saya tegaskan saya tak pernah minta Muhyiddin gugurkan kes ataupun tukar hakim.”

Najib berkata, beliau hanya menemui Muhyiddin sekali ketika beliau menjadi Perdana Menteri, iaitu pada Dis 2020 untuk meminta orang ramai dibenarkan membuat pengeluaran daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Masa itu dia tanya tentang kes-kes mahkamah saya dan saya jawab kita masih membuat permohonan untuk gugurkan kelayakan Gopal Sri Ram sebagai pendakwa raya,” katanya.

Disember lalu, Mahkamah Rayuan mengesahkan sabitan terhadap Najib oleh Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 berhubung dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Berikutan itu, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram ke atasnya juga dikekalkan.

Najib juga terlibat dalam empat perbicaraan lain termasuk pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan wang sebanyak RM2.3 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.