Demi raih perhatian, lelaki buat aksi ‘wheelie’ ditahan

Demi raih perhatian, lelaki buat aksi ‘wheelie’ ditahan

Polis menerima maklumat berkaitan video tular aksi 'wheelie' itu pada pukul 3 petang semalam sebelum mengesan dan menahan lelaki terbabit untuk siasatan.

Video tular berdurasi 36 saat itu memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal Honda EX5 secara berbahaya dengan membawa seorang kanak-kanak perempuan.
PETALING JAYA:
Tindakan seorang lelaki menunjukkan aksi menunggang motosikal secara berbahaya bersama seorang kanak-kanak di media sosial, mengundang padah apabila dia akhirnya ditahan polis semalam.

Dalam kejadian di Skudai itu, lelaki terbabit dikatakan sengaja merakam aksi ‘wheelie’ untuk meraih perhatian warganet dengan memuat naik video di media sosial.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Rupiah Abd Wahid berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan video tular aksi ‘wheelie’ itu pada pukul 3 petang.

Menurutnya, video berdurasi 36 saat itu memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal Honda EX5 secara berbahaya.

Katanya, video berkenaan juga menunjukkan terdapat seorang kanak-kanak perempuan bersama lelaki berkenaan.

“Lelaki itu melakukan aksi ‘wheelie’ di Jalan Bukit Impian 1, Taman Impian Emas, Skudai disini, dipercayai semata-mata untuk meraih perhatian warganet di media sosial,” katanya dalam kenyataan.

Rupiah berkata, aksi berkenaan dirakam dengan bantuan rakan lelaki itu sebelum ia dimuat naik ke Facebook pada 7 malam, 15 Februari lalu.

Menurutnya, hasil siasatan polis berjaya mengesan dan menahannya bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000.

“Dalam kes ini, tiga saman turut dikeluarkan termasuk kerana menggunakan nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi, cukai jalan tamat tempoh dan tidak memakai topi keledar.

“Pihak polis menasihati orang ramai supaya tidak memandu kenderaan dengan melakukan aksi yang boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri mahupun pengguna jalan raya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.