
Semalam, Mufti Perlis Asri Zainul Abidin, mengesahkan bahawa jabatan Islam negeri berkenaan sudah mendaftarkan tiga anak Loh sebagai Muslim tiga tahun lalu berdasarkan hasrat bapa mereka dan tindakan itu mendapat kecaman daripada kumpulan kebebasan awam termasuk badan agama lain.
“Setahu saya, penimbang tara terakhir adalah mahkamah,” kata Wan Junaidi kepada FMT.
“Rakyat boleh pergi ke mahkamah dan memohon perintah mahkamah…(mahkamah akan) dengar hujah dibawa Mufti Perlis atau pihak lain.
“Itu sahaja jalan keluar. Ini kerana ada proses demokrasi di Malaysia… timbang tara di mahkamah.
Wan Junaidi berkata demikian sebagai mengulas langkah kerajaan persekutuan dalam memastikan negeri secara konsisten mematuhi keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2018 berhubung penukaran agama perlu mendapat persetujuan ibu dan bapa secara mandatori jika membabitkan kanak-kanak bawah umur.
Wan Junaidi bercakap kepada FMT selepas menghadiri forum pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan pusat dan Pakatan Harapan (PH).
Sambil menegaskan hal ehwal agama berada dalam bidang kuasa negeri, Wan Junaidi berkata, “bidang kuasa kerajaan pusat” hanya sistem mahkamah.
“Jadi, sekiranya mereka pergi ke mahkamah, mahkamah akan putuskan,” katanya.
Semalam, Asri berkata, penukaran agama tiga anak bawah umur Loh, mengikut peruntukan undang-undang di bawah Enakmen Islam Perlis 2016 yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN), meluluskan sama ada bapa atau ibu atau penjaga dibenarkan menukar agama kanak-kanak di bawah umur kepada Islam.
“Saya ingin memberitahu bahawa pada tahun 2016 Dewan Undangan Negeri Perlis telah menggubal pentafsiran perkataan menganut Islam daripada ibu dan bapa kepada ibu atau bapa. Jadi dari segi undang-undang negeri Perlis tidak bertentangan,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook.
Loh, yang mendapat hak penjagaan mutlak terhadap tiga anaknya daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, tahun lalu, tidak bertemu dengan anak-anaknya itu sejak tiga tahun lalu kerana sedang dipulihkan di pusat perlindungan kepada mangsa keganasan rumah tangga.
Selepas membuat laporan polis tentang kehilangan anak-anaknya, polis memaklumkan tiga anaknya dalam penjagaan pihak berkuasa agama di Perlis.
Dia bertemu semula dengan anak-anaknya pada Ahad, dengan Loh membenarkan mereka diletakkan di bawah penjagaan pusat perlindungan milik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sementara menunggu permohonan habeas corpus bagi mendapatkan semula tiga anaknya itu.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin ini akan mendengar permohonan Loh berkenaan.