Ketegangan kaum, agama meningkat selepas PRU14; keputusan penggunaan kalimah ‘Allah’, kata kumpulan

Ketegangan kaum, agama meningkat selepas PRU14; keputusan penggunaan kalimah ‘Allah’, kata kumpulan

Initiate My mendedahkan dua peristiwa penting, PRU14 dan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penggunaan kalimah 'Allah' mencetuskan kesan limpahan ketegangan kaum dan agama.

Bantahan anti-ICERD pada 2018 antara peristiwa dibayangi sikap tidak bertoleransi membabitkan kaum dan agama dalam kalangan rakyat, kata Inisiatif Menggalakkan Toleransi dan Mencegah Kekejaman (Initiate My).
PETALING JAYA:
Ketegangan antara kaum dan agama meningkat hampir serta-merta selepas berlaku peristiwa penting yang berkait membabitkan kaum, agama atau kedua-duanya.

Inisiatif Menggalakkan Toleransi dan Mencegah Kekejaman (Initiate My), hari ini, mendedahkan dua peristiwa besar seperti pilihan raya umum ke-14 (PRU14), pada Mei 2018 dan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, berhubung penggunaan kalimah “Allah” pada 2019.

Pangkalan data diwujudkan Initiate My membabitkan dokumen konflik kaum dan agama di negara ini, menunjukkan hubung kait antara peristiwa dan peningkatan ketegangan.

Dapatan kumpulan itu diterbitkan dalam webinar “Kepentingan Datafikasi dalam Mempromosikan Kebebasan Beragama dan Toleransi”, hari ini.

Pengasas dan Pengarah Initiate My Aizat Shamsuddin, berkata PRU14 dan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2019, mengakibatkan kesan limpahan, yang mana “satu peristiwa itu akan mencetuskan peristiwa lain sehingga merebak”.

Selepas PRU14, yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) tewas sebagai kerajaan memerintah untuk pertama kalinya dan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kuasa, Initiate My merekodkan, sembilan konflik dan insiden dibayangi sikap tidak bertoleransi membabitkan kaum dan agama dalam kalangan rakyat. Peristiwa itu berlaku pada 2018 dan 2019.

Ia merangkumi pelbagai bantahan terhadap Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), ratifikasi Statut Rom, penggunaan khat kaligrafi, kempen “Buy Muslim First”, dan rusuhan berhampiran Kuil Seafield Mariamman, di Subang.

Initiate My juga merekodkan 10 insiden vandalisme menyasarkan gereja di seluruh negara pada 2010 selepas Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah “Allah” dalam penerbitan Bahasa Malaysia bagi kegunaan penganut Kristian, pada Dis 2009. Sembilan insiden berkenaan berlaku di Semenanjung.

Kumpulan itu juga membentangkan dapatan berhubung pewartaan fatwa dan penguatkuasaan enakmen syariah negeri di seluruh negara yang menyasarkan kumpulan minoriti agama dan kecenderungan seksual.

Senarai itu adalah:

  • 89 peruntukan dan fatwa negeri digazetkan berhubung penghinaan agama;
  • 87 peruntukan dan fatwa negeri digazetkan berhubung anti murtad;
  • 128 peruntukan dan fatwa digazetkan berhubung hukuman terhadap minoriti seksual; dan
  • 135 peruntukan dan fatwa digazetkan menyasarkan kritikan membina dan budaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.