
Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim memaklumkan kepada hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi bahawa pihak terlibat telah menerima surat makluman daripada Mahkamah Rayuan minggu lalu berhubung tarikh keputusan rayuan itu.
Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Azeez, 55, mengesahkan perkara tersebut.
Azura menetapkan 18 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi pihak-pihak memaklumkan status keputusan rayuan. Hari ini ditetapkan untuk sebutan kes.
Perbicaraan kes Azeez yang bermula 19 Ogos 2020 di Mahkamah Sesyen dengan tujuh saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan itu.
Azeez merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada 12 Mac tahun lalu, yang menolak permohonannya untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram dihadapinya.
Hakim Muhammad Jamil Hussin ketika menolak permohonan itu berkata, mahkamah mendapati semua pertuduhan itu tidak cacat dan berlandaskan peruntukan undang-undang.
Mahkamah Tinggi juga membenarkan permohonan Azeez, yang juga Ahli Parlimen Baling, untuk menangguhkan perbicaraan kesnya sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Azeez menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah keseluruhan RM13.9 juta yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Jalan Tun Perak, di sini, pada 8 Dis 2010 dan di Affin Bank Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018, manakala kesalahan pengubahan wang haram dilakukan di kawasan Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.