Tukang rumah dipenjara 12 tahun, 13 sebatan miliki dadah

Tukang rumah dipenjara 12 tahun, 13 sebatan miliki dadah

Tertuduh sebelum ini berdepan pertuduhan Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa kepada hukuman gantung jika sabit kesalahan.

Hakim mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 31 Mac 2021.
PETALING JAYA:
Seorang tukang rumah terlepas hukuman gantung selepas dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 13 sebatan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini kerana memiliki dadah jenis methamphetamine, Mac tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Shazlan Mohamad, 24, sebelum ini berdepan pertuduhan bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang membawa kepada hukuman gantung jika sabit kesalahan.

Tertuduh ditawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 12 (2) yang membawa hukuman mengikut Seksyen 39A(2) akta sama apabila peguam tertuduh, Mazlan Md Zain memohon representasi sebelum dibenarkan oleh Jabatan Peguam Negara.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 71.85g dalam bilik sebuah rumah di Manir, Terengganu, 10.30 malam pada 31 Mac 2021.

Tertuduh yang berdepan hukuman mengikut Seksyen 39A(2) akta sama berdepan hukuman penjara seumur hidup atau satu tempoh yang tidak kurang lima tahun dan sebatan tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 kerana memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 8.77g di hadapan sebuah rumah di Manir, 10.15 malam pada 31 Mac 2021.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, hakim Hassan Abdul Ghani menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama manakala penjara tiga tahun dan tiga sebatan bagi pertuduhan kedua.

Bagaimanapun, Hassan mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap, iaitu pada 31 Mac 2021.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah dan Nik Rabi’atul Adawiah Soupy.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.