
Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid berkata, dakwaan pemilik akaun Twitter “Edisi Khas” itu, yang turut mengatakan ramai anggota polis mengambil kesempatan atas kegiatan tersebut dengan menerima rasuah adalah tidak benar dan merupakan fitnah kepada anggota dan pegawainya.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan kes perjudian dan pelacuran di negeri ini.
“Dia patut tampil untuk memberi maklumat supaya kita boleh bertindak. Jangan baling batu sembunyi tangan. Kalau betul, kita ada pihak tertentu yang akan buat siasatan.
“Kalau dia takut hendak memberi maklumat, gunalah saluran yang betul, ada akta yang boleh melindungi dia tanpa orang mengetahui identiti pelapor. Sesiapa yang ada maklumat berkenaan kegiatan haram di negeri Perak boleh tampil berikan maklumat,” katanya pada sidang media.
Beliau berkata, semua Ketua Polis Daerah di negeri itu telah diarahkan untuk mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan berkenaan sekiranya berlaku di daerah masing-masing, malah serbuan ke atas pusat hiburan juga diadakan secara berkala.
Menurut Mior Faridalathrash, pihaknya turut meminta pihak berkuasa tempatan di kawasan terlibat untuk membatalkan lesen premis pusat hiburan yang menggaji warga asing sebagai pelayan pelanggan (GRO).
Semalam, pemilik akaun Twitter berkenaan memuat naik ciapan mendakwa beberapa daerah di Perak, iaitu Manjung, Batu Gajah, Ipoh dan Teluk Intan sudah dibanjiri dengan kedai judi dalam talian dan pelacuran, namun tiada tindakan diambil oleh polis.
Ciapan itu turut mendakwa polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima rasuah daripada sindiket terbabit.