Jaguh baling tukul besi Semret Singh meninggal dunia

Jaguh baling tukul besi Semret Singh meninggal dunia

Anak kepada bekas atlet kebangsaan dalam acara sama itu adalah pemenang dua pingat emas pada dua edisi Sukan SEA.

Semret Singh memecahkan rekod Malaysia dengan lontaran sejauh 50.5m pada 1981.
PETALING JAYA:
Bekas jaguh baling tukul besi, Semret Singh, meninggal dunia hari ini pada usia 66 tahun.

Semret, pemenang pingat emas Sukan SEA sebanyak dua kali, iaitu pada edisi 1985 di Bangkok dan edisi 1989 di Kuala Lumpur menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di sisi ahli keluarga.

Mendiang meninggalkan isteri dan empat anak.

Anak lelakinya, Amarraj Singh memberitahu FMT: “Ketika ini, kami tidak tahu punca kematiannya, namun ia berlaku secara mengejut.”

Beliau berkata, ahli keluarga membuat laporan polis dan sedang menguruskan pemeriksaan untuk bedah siasat.

Amarraj berkata, sejurus mayat bapanya dikembalikan kepada pihak keluarga, mereka akan mengatur upacara penghormatan terakhir membabitkan sanak saudara, rakan termasuk orang awam di krematorium.

Mendiang Semret, yang bapanya Ghenda Singh juga seorang atlet kebangsaan baling tukul besi, memecahkan rekod Malaysia acara itu dengan lontaran sejauh 50.5m pada Kejohanan Musim Bunga Australia 1981 di Perth.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.