
Dalam pernyataan balas menjawab pernyataan pembelaan yang dikemukakan Lalitha berhubung saman fitnahnya, Azam berkata, Lalitha tidak boleh dipercayai, selain mendakwa beliau melakukan “kerja acuh tak acuh”.
Sebagai contoh Azam berkata, tidak munasabah untuk Lalitha mendakwa dirinya tidak mengetahui alamat tempat kerjanya.
“Sebagai ‘wartawan penyiasat’ beliau dengan mudah boleh melakukan carian Google alamat Ibu Pejabat SPRM,” katanya.
Azam menyaman Lalitha bulan lalu berhubung dua artikel bertajuk “Business ties among MACC leadership: How deep does it go? (Part 1)” dan “Business ties among MACC leadership: How deep does it go? (Part Two)”, yang diterbitkan oleh portal INS pada 26 Okt tahun lalu dan diterbitkan semula pada 15 Dis.
Beliau mendakwa, Lalitha berkongsi pautan berkenaan kedua-dua artikel terbabit dalam akaun Twitter, @LalithaVelvet, yang masih boleh diakses sehingga ke hari ini.
Azam berkata, artikel yang diterbitkan itu disensasikan, bersifat skandal dan menyinggung perasaan dan ditulis serta diterbitkan semula dengan niat jahat bertujuan menimbulkan persepsi buruk kepada pembaca bahawa dirinya adalah penjawat awam yang korup atau menyalahgunakan kedudukannya sebagai pegawai kanan SPRM untuk kepentingan dirinya atau adik-beradiknya.
Beliau berkata, tuduhan kenyataan fitnah itu antara lain mendakwa beliau memiliki saham dan waran bernilai jutaan ringgit yang dibeli menggunakan sumber haram dan beliau melabur jutaan ringgit dalam tempoh singkat, selain tidak mengisytiharkan pembelian saham dan waran ketika menjawat sebagai Pengarah Siasatan SPRM.
Selain itu, beliau berkata, kenyataan yang mendakwa beliau dan adik lelakinya, menerusi syarikat RI Intelligence Sdn Bhd, secara langsung dan tidak langsung terbabit dalam aktiviti haram.
Dalam pembelaannya Lalitha berkata, perkataan yang dipertikaikan itu, jika diletakkan dalam konteks maksud semula jadi dan biasa, tidak berunsur fitnah seperti didakwa oleh Azam dalam pernyataan tuntutan.
Sekiranya perkataan itu berunsur fitnah, Lalitha akan bergantung kepada pembelaan pelaporan neutral, keistimewaan “pembelaan Reynold”, ulasan wajar, justifikasi dan beberapa peruntukan dalam Akta Fitnah.
Dalam pada itu Azam berkata, Lalitha sudah meninggalkan kerjayanya di Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4) pada Disember 2020.
“Beliau (Lalitha) mendakwa dalam pembelaannya bahawa beliau adalah pekerja C4 ketika menulis artikel yang disangkal itu pada 26 Okt, 2021.
“Justeru dalam penyataan pembelaannya yang difailkan pada 4 Feb adalah tidak benar dan bercanggah dengan kenyataan media yang dikeluarkan C4. Beliau membuat kenyataan palsu dengan niat mengelirukan mahkamah,” kata Azam.
Dilaporkan sebelum ini, satu laporan polis terhadap Lalitha dibuat minggu lalu atas dakwaan menipu mahkamah berhubung status pekerjaannya.
Bagaimanapun Bukit Aman berkata, laporan itu diklasifikasikan sebagai “tiada tindakan lanjut” atau NFA.