Miliki senjata dan cubaan bunuh, nelayan mungkin didakwa semula

Miliki senjata dan cubaan bunuh, nelayan mungkin didakwa semula

Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Goh Hwa Kiang daripada pertuduhan itu.

Hakim Hanipah Farikullah menjelaskan mahkamah tidak mempunyai kuasa melepaskan seseorang tertuduh tanpa mendengar semua keterangan daripada pihak pendakwaan. (Gambar Reuters)
PUTRAJAYA:
Seorang nelayan mungkin didakwa semula atas kesalahan memiliki pistol dan cubaan membunuh, selepas Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskannya daripada pertuduhan itu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Hanipah Farikullah memutuskan Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam melepas dan membebaskan Goh Hwa Kiang, 41.

Hanipah yang bersidang bersama Lee Heng Cheong dan Nordin Hassan membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan (DNAA) Goh daripada pertuduhan tersebut.

Hanipah berkata. dalam satu keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini menyatakan mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk melepaskan seseorang tertuduh tanpa mendengar semua keterangan daripada pihak pendakwaan.

Berikutan keputusan itu, Goh kini boleh didakwa semula atas kesalahan tersebut.

Pada 29 Sept 2018, Goh didakwa memiliki pistol Smith and Wesson mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan cubaan membunuh K Kalidass.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah di Batu ¾, Jalan Pantai Tanjung, Piandang, Perak pada 2.15 pagi 19 Julai 2018.

Pada 13 Julai 2020, Mahkamah Sesyen menjatuhkan DNAA kepada Goh selepas pendakwaan mengemukakan empat saksi, termasuk pegawai penyiasat.

Goh kemudiannya memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi, di mana pada 24 Feb 2021, dia dilepas dan dibebaskan, yang bermakna dia tidak lagi boleh didakwa atas kesalahan sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Zaki Asyraaf Zubir berhujah pendakwaan tidak memohon DNAA terhadap Goh di Mahkamah Sesyen.

Malah, katanya, pendakwaan hanya memohon penangguhan perbicaraan kerana saksi tidak boleh disepina berikutan perubahan pegawai penyiasat dan menambah pegawai yang mengambil alih kes itu terlepas pandang perkara itu.

Zaki Asyraf berkata, itulah pertama kali saksi pendakwaan tidak hadir di mahkamah.

Peguam Goh, Naran Singh berhujah Mahkamah Tinggi telah melepas dan membebas Goh daripada tuduhan itu kerana saksi pendakwaan utama telah memberikan keterangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.