2 pengedar ditahan, dadah bernilai RM122,000 dirampas

2 pengedar ditahan, dadah bernilai RM122,000 dirampas

Kedua-dua suspek yang mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah itu juga didapati positif dadah.

Mior Faridalathrash Wahid (tengah) menunjukkan heroin dan methamphetamine yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Medan Perwira, Kamunting pada Khamis lalu. (Gambar Bernama)
TAIPING:
Polis menahan dua lelaki disyaki pengedar dadah dan merampas dadah jenis heroin serta methamphetamine kira-kira RM122,000 dalam serbuan di sebuah premis di Medan Perwira, Kamunting, di sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid berkata, kedua-dua suspek ditahan dalam serbuan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak pada 9.30 malam.

“Suspek pertama merupakan penganggur berusia 24 tahun, ditahan di dalam premis berkenaan bersama enam bungkusan plastik disyaki dadah jenis heroin dan satu bungkusan plastik dadah jenis methamphetamine.

“Tindakan susulan dibuat dan polis berjaya menahan seorang lagi lelaki berumur 29 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori, yang ketika itu berada di dalam sebuah kereta di hadapan premis itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping.

Beliau berkata, turut dirampas sebuah motosikal dan sebuah kereta, dua utas rantai emas serta dua telefon bimbit, dengan nilai sitaan kira-kira RM45,000.

Katanya, kedua-dua suspek yang mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah itu juga didapati positif dadah, dan mereka direman hingga 17 Feb ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Farid berkata, polis tidak pernah memberikan kelulusan untuk penganjuran program Santai Anak Utara (SAU) di Bukit Merah Laketown Resort di sini, pada Sabtu ini (19 Feb).

“Permohonan dibuat kepada Pengarah Majlis Keselamatan Negeri (MKN) negeri, tiada kelulusan daripada pihak polis. Saya difahamkan ia telah diluluskan sebelum ini.

“Oleh kerana trend Covid-19 meningkat ketika ini, saya difahamkan Pengarah MKN akan mengkaji semula sama ada untuk membenarkan program ini dijalankan atau sebaliknya. Difahamkan program pada Sabtu ini akan dihadiri puluhan ribu orang.”

SAU akan menghimpunkan anak muda bermotosikal dari negeri di kawasan utara negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.