
Mengulas sidang media oleh pengadu terbabit semalam, Rasman dalam kenyataan berkata tindakan itu berpotensi memprejudis dan memberi kesan terhadap hasil siasatan.
“Melalui kenyataan media dibuat bekas Ketua Srikandi Bersatu Bahagian tersebut dan anaknya, mereka turut menyatakan tuduhan terhadap saya secara terbuka. Malahan terdapat kenyataan berbaur fitnah yang turut dilemparkan terhadap saya.
“Sementara itu, di dalam tindakan guaman secara sivil yang berlainan, saya telah mengarahkan barisan peguam saya untuk meneruskan tuntutan tindakan sivil terhadap Bekas Ketua Srikandi BERSATU Bahagian tersebut dan anaknya yang cuba mencemarkan nama serta imej saya melalui beberapa kenyataan dan tindakan mereka,” katanya.
Rasman berharap, pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat apa-apa tindakan dan komen pada bila-bila masa yang boleh menjadi satu bentuk gangguan kepada siasatan tersebut.
“Selebihnya, saya menyerahkan segala urusan siasatan tersebut kepada pihak polis dan Pejabat Peguam Negara.
“Saya juga berharap agar kes ini dapat diputuskan segera memandangkan ia memberi impak yang besar kepada semua pihak yang terlibat,” katanya.
Semalam, wanita yang mendakwa diganggu secara seksual oleh Rasman dilaporkan akan melantik peguam bagi membawa kes itu ke mahkamah.
Pengadu, Nur Syafiqah Badsulhisham berkata, pihaknya masih menunggu perkembangan terkini daripada polis berhubung siasatan kes itu.