
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed, berkata kesemua projek ‘sakit’ ini sedang dipantau oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.
Beliau berkata, antara punca utama dikenal pasti menjadi penyumbang kepada masalah itu adalah kelewatan penyiapan projek kontraktor dan perunding serta isu-isu pelaksanaan projek seperti masalah koordinasi antara klien, agensi pelaksana dan pihak ketiga.
“Sebanyak 22 projek ‘sakit’ dan bermasalah adalah di bawah Kementerian Pendidikan iaitu paling banyak, berbanding dengan kementerian lain,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Projek Bukit Bunga Bypass di Bukit Bunga, di sini.

Mustapa berkata, kerajaan telah mengambil tindakan sewajarnya memantapkan kriteria pemilihan dan pelantikan kontraktor serta perunding selain meningkatkan kemahiran penjawat awam dalam menguruskan projek pembangunan negara.
“Kita (kerajaan) memandang serius terhadap isu-isu berkaitan penyelarasan dalam pelaksanaan projek dan ingin menekankan bahawa semua pihak berkepentingan haruslah bergerak seiring secara terancang dan bersepadu.
“Ini penting bagi memastikan pencapaian matlamat pelaksanaan projek pembangunan negara dapat dicapai dengan jayanya,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini kerajaan turut memantau rapi semua projek dilaksanakan di bawah Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dipengerusikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bagi memastikan projek terbabit dilaksanakan mengikut jadual, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.