Jangan bergantung unjuran ‘terlalu optimistik’, Guan Eng beritahu PM

Jangan bergantung unjuran ‘terlalu optimistik’, Guan Eng beritahu PM

Lim Guan Eng berkata, unjuran serupa yang dilakukan kerajaan terdahulu bukan sahaja gagal dicapai, malah banyak sasaran ekonominya tersasar.

Lim Guan Eng berkata, Ismail Sabri Yaakob harus melakukan reformasi institusi yang dapat menyelesaikan kekurangan pekerja dihadapi banyak perniagaan.
PETALING JAYA:
Kerajaan perlu kekal menumpukan usaha memulih dan mengembangkan semula ekonomi, berbanding bergantung kepada unjuran “terlalu optimistik” seperti dilakukan kerajaan sebelum ini, kata Lim Guan Eng.

Bekas Menteri Kewangan itu dalam kenyataan, memberi amaran kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob unjuran terlalu optimistik bukan sahaja gagal mengeluarkan negara daripada kemelesetan, malah menjejaskan keyakinan susulan banyak sasaran ekonomi tersasar.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz dilaporkan berkata, kerajaan kekal mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara bagi 2022 pada kadar 5.5-6.5%.

Katanya, kadar itu selaras unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, masing-masing 5.7% serta 5.8%.

“Momentum berterusan pemulihan ekonomi jelas berhasil dengan pertumbuhan kadar keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 3.1% pada 2021,” katanya sambil menambah negara berjaya menarik pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM50 bilion.

Bagaimanapun, Lim berkata, pertumbuhan KDNK pada kadar 3.1% “mengecewakan” berbanding unjuran 7.5% di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) terdahulu.

“Pertumbuhan KDNK menurun kepada 3.1% walaupun terdapat lapan pakej rangsangan ekonomi berasingan berjumlah RM530 bilion di samping Belanjawan 2021,” katanya.

Lim yang juga Setiausaha Agung DAP, berkata dengan tidak dapat membalikkan penguncupan 5.6% pada 2020, ekonomi Malaysia sebenarnya lebih kecil pada 2021 berbanding 2019.

“Prestasi ekonomi pada 2022 dan pengurusan gelombang baharu varian Omicron Covid-19 yang kurang berbahaya akan menjadi ujian litmus kepada Ismail, sama ada beliau komited menangani masalah ekonomi Malaysia.

“…atau tenggelam dalam unjuran tidak realistik untuk menjana ‘feel good factor’ bagi menghadapi pilihan raya negeri Johor akan datang,” katanya.

Lim turut meramalkan defisit belanjawan bagi 2021 mungkin meningkat kepada lebih 7% berbanding sasaran defisit 5.4%.

“Bagi mengelak 2022 menjadi satu lagi tahun yang hilang kerana sasaran ekonomi tersasar, Ismail harus melakukan reformasi institusi yang dapat menyelesaikan kekurangan pekerja dihadapi banyak perniagaan.

“Beliau juga perlu mengawal kenaikan inflasi dan harga makanan, komoditi dan bahan, terutamanya membatalkan kenaikan tarif elektrik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.