154 pelanggan, pemilik premis, dikompaun RM155,000 langgar SOP

154 pelanggan, pemilik premis, dikompaun RM155,000 langgar SOP

Ketua Polis Daerah Brickfields Amihizam Abdul Shukor, berkata polis turut menahan pengurus premis lelaki berusia 37 tahun dan lapan pekerja lelaki warga asing kerana menjalankan perniagaan pusat hiburan tanpa lesen.

Secara keseluruhannya, seramai 154 warga tempatan termasuk pemilik premis dikenakan tindakan kompaun kerana gagal mematuhi SOP PPN, kata Ketua Polis Daerah Brickfields Amihizam Abdul Shukor. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Nilai kompaun berjumlah RM155,000 dikeluarkan terhadap 154 pelanggan dan pemilik premis pusat hiburan, di Jalan Telawi, Bangsar Baru, selepas gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pelan pemulihan negara (PPN).

Ketua Polis Daerah Brickfields Amihizam Abdul Shukor, berkata sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menyerbu pusat hiburan itu pada 10.52 malam, semalam, selepas menerima maklumat berhubung kegiatan premis terbabit.

Semasa serbuan dibuat, beliau berkata, terdapat persembahan ‘live band’ di atas pentas dan beberapa pelanggan premis dilihat sedang berhibur sambil minum minuman keras.

“Pihak polis kemudian menahan pengurus premis iaitu lelaki berusia 37 tahun dan lapan pekerja lelaki warga asing kerana menjalankan perniagaan pusat hiburan tanpa lesen.

“Secara keseluruhannya, seramai 154 warga tempatan termasuk pemilik premis dikenakan tindakan kompaun kerana gagal mematuhi SOP PPN,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Amihizam berkata, polis turut merampas barang kes antaranya resit perniagaan, minuman keras, mikrofon, dan pelbagai aksesori/peralatan
muzik.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1952, Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terbabit dengan sebarang aktiviti pusat hiburan yang melanggar SOP PPN untuk memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.