
Hakim Azman Abdullah memutuskan kes itu wajar dibicarakan demi kepentingan awam.
Peguam Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Mohamad Ali memberitahu pemberita bahawa mahkamah menetapkan 24 Mac hingga 31 April ini untuk mendengar petisyen berkenaan.
“Sebagai pempetisyen, pihak kami menyediakan lebih 30 orang saksi, responden kedua dan ketiga akan membawa lima orang saksi, manakala tiga saksi daripada responden pertama,” katanya selepas selesai prosiding itu di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, di sini.
Pada 14 Dis lalu, Ali, 57, memfailkan petisyen itu bagi membatalkan kemenangan Dr Mohd Aleef Yusof, 35, atas dakwaan terdapat unsur rasuah pada PRN di kawasan itu.
Beliau menamakan Aleef, yang menang dengan majoriti 530 undi dalam pertembungan empat penjuru, Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi DUN Sungai Udang dan SPR sebagai responden pertama hingga ketiga.
Ketiga-tiga responden kemudiannya mengemukakan bantahan awal terhadap petisyen pilihan raya itu.
Dalam petisyennya, Ali yang juga Ketua Umno Bahagian Tangga Batu memohon perintah mahkamah supaya kemenangan Aleef itu dibatalkan dan pilihan raya kecil diadakan di kerusi DUN Sungai Udang.
Petisyen itu difailkan atas beberapa alasan termasuk wujudnya unsur rasuah dan pelanggaran Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.